3

REVOLUSI J : Siap Sedia Untuk Ditayangkan

Posted by PonMan on 1:01 AM

Syukur Alhamdullilah kerana dengan berkat dan izinNya semua proses pre-production, production shooting dan juga post-production yang melibatkan editing berjalan dengan lancar dan siap awal seperti yang sepatutnya dijadualkan. Insyallah kalau ada rezeki, filem pendek pertama arahan aku ini akan dilancarkan dan ditayangkan buat pertama kalinya pada awal bulan depan (tarikh belum dimuktamadkan) di SMK Jitra, tempat dimana aku belajar dulu dan mencungkil bakat aku secara tak langsung dalam bidang multimedia dan video ini... (belajar sendiri laa.....)

Tak sangka pula pengalaman aku tido dalam lab Bestari dan bilik POST (Pusat Operasi Skuad IT) yang kini dijadikan bilik penerbitan majalah sekolah telah memberikan bukan sekadar kenangan tapi juga menjadikan sebagai aset dan titik mula (turning point) dalam karier dan masa depan hidup aku untuk menceburi bidang yang aku suka nie....

Sebagai membalas jasa atas sumbangan serta kerjasama yang telah diberikan oleh pihak sekolah dan menyingkap kembali kenangan aku di sekolah SMK Jitra nie, aku amatlah berbesar hati seandainya diberi peluang untuk membuat tayangan perdana di Dewan Ibnu Sina, dimana satu ketika dulu aku menguruskan PA sistem serta bahan-bahan multimedia untuk pihak sekolah, dan ada kalanya aku ambil kesempatan untuk jadikan malam minggu sebagai tayangan wayang filem-filem Melayu untuk tontonan dan hiburan para pelajar asrama terutamanya....

Apa yang pasti kenangan sebegini merupakan kenangan terindah dan paling bernilai dalam hidup aku. Siapa sangka dahulunya Cikgu Zarina mengajak aku dan kawan-kawan aku untuk belajar membuat shooting dan video editing menggunakan software Pinnacle Studio dan Ulead telah memberikan impak serta kecenderungan kepada diri aku sekarang. Terima kasih Cikgu Zarina kerana telah melahirkan siapa sebenarnya insan disebalik nama samaran PonMan ini... Mungkin kalau tak kerana cikgu Zarina, apalah nasib bakal menimpa diri PonMan, belajar pun tak pandai, result SPM tak sehebat dengan kawan-kawanku yang lain... mungkin aku pun bakal hanya jadi Pomen kereta tak pun keja kilang untuk sara hidup aku dan keluarga.... atau paling teruk mungkin bakal jadi mat rempit tak bertauliah, doktor dengan suntikan ubat dadah atau mungkin juga jadi pensyarah ditepi jalan (orang gila).....

Tapi, aku telah bernasib baik kerana sempat diselamatkan dan diberi nafas serta semangat baru untuk teruskan perjuangan sisa-sisa hidup aku nie... malah apa yang paling aku banggakan dengan diri aku sekarang adalah melihat transformasi diri aku daripada batu buruk yang langsung tak diberikan sinar harapan dan perhatian kini berubah wajah menjadi salah satu permata serta aset kepada famili, dan juga komuniti.... now, PonMan is back on the track and living with passion!!



Berbalik kepada filem pendek Revolusi J ini, filem ini sebenarnya diilhamkan dan cerita direka semula berdasarkan kisah peristiwa pertarungan Tuah dan Jebat pada kurun ke-15. Apa yang uniknya filem ini adalah cara aku sebagai pengarah untuk mengetengahkan idea bagaimanakah sekiranya pertarungan Tuah dan Jebat ini berlaku lagi pada masa kini dan akan datang (dalam konteks kontemporari).... kerana berdasarkan penghayatan aku, oleh kerana majoriti rakyat Malaysia tak begitu gemar membaca, ambik tahu atau menonton filem2 sejarah ini kerana bagi mereka, ia sudahpun terjadi, kita pun sudah merdeka, aman dan tenteram... jadi tak usah kita fikirkan lagi tentang perkara yang lepas..... tapi adakah kita tahu, seandainya kita menghayati dan mempelajari kesilapan lalu, mungkin kita akan lebih menghargai nikmat hidup kita sekarang.... Oleh kerana kita mudah lupa dan terlalu leka dengan mengejar arus moden, kita sebenarnya hampir hilang identiti kita sendiri... malah lagi buruk lagi kita sering melakukan kesilapan yang sama berulang kali, kerana kita tak berusaha untuk memperbaikinya....

Oleh itu, aku sebagai seorang pengarah muda, amat rasa penuh tanggungjawab dalam memulihkan persepsi masyarakat tentang isu betapa pentingnya sejarah dalam hidup kita, kalau ianya tak mahu dijadikan sebagai subjek utama atau bidang yang kita cenderung, amatlah memadai sekiranya kita sekadar ambil iktibar dan belajar dari kesilapan agar kita tak dijajah lagi menerusi minda atau perbuatan oleh anasir-anasir barat. Jesteru itu, aku jadikan filem pendek aku yang tak seberapa ini sebagai platform terbaik untuk menyampaikan pesanan dan juga nasihat serta sebagai satu jalan untuk aku berdakwah mengajak semua umat manusia untuk kembali ke pangkal jalan.



Dalam filem Revolusi J ini, gabungan elemen lama yang terdapat dalam kisah pertarungan Tuah dan Jebat dengan elemen isu-isu semasa cuba diterapkan. Antaranya isu seperti krisis salah guna kuasa, rasuah dan skandal seks antara Datuk dan juga model. Sebagai contoh, kalau di abad ke-15, Tuah dan Jebat merupakan antara laksamana terbaik negeri Melaka, tapi dalam konteks zaman kini, mereka menjadi salah detektif dan pegawai polis yang mempunyai peranan yang sama seperti laksamana, iaitu untuk menjaga keselamatan negara. Taufiq lakonan Asyraf Rosarudin berperanan sebagai Tuah manakala Jihad lakonan Ridzwan Hasbullah sebagai Jebat.

Seperti yang kita tahu, Tuah telah hampir dihukum bunuh atas fitnah Datuk Patih Karma Wijaya melalui skandal salah seorang dayang istana bernama Melur dan sikap terburu-buru Sultan Melaka sehingga keadaan ini menyebabkan Jebat ingin menuntut bela ke atas kematian sahabatnya. Sebaliknya Tuah masih lagi hidup kerana diselamatkan oleh Tun Perak dan disembunyikan di satu tempat telah kembali berkhidmat kepada Sultan untuk menangkap dan membunuh Jebat kerana dikatakan menderhaka.

Dalam filem ini, Taufiq yang telah dipenjarakan dan masih lagi disiasat oleh penyiasat polis untuk mencungkil rahsia disebalik pembunuhan misteri bekas-bekas pegawai polis yang korup. Malah, Taufiq turut dikatakan terlibat dalam kes pembunuhan Jasmin, (lakonan Nur Afifa berperanan sebagai Melur) yang juga teman wanitanya sendiri. Untuk membuktikan dirinya yang tak bersalah, Taufiq terpaksa sedaya upaya mengimbas kembali memori silam untuk mencari petunjuk. Dalam masa yang sama, Taufiq turut menceritakan bagaimana beliau telah dianiaya oleh Datuk Kadir (lakonan Nor Azamuddin) berperanan sebagai Karma Wijaya, dengan mengupah beliau untuk menangkap penjenayah tapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan sulit dengan Jasmin.

Apakah yang menyebabkan pertarungan kedua Tuah dan Jebat di abad ke-21 ini kembali terjadi? Bagaimanakah perhitungan mereka berdua? Adakah sekali lagi Jebat mati di tangan Tuah? Sama-sama saksikan filem pendek Revolusi J ini yang akan ditayangkan bulan November ini.





1

Tension beli DVD Game FIFA 10 Tak Boleh Main!!!

Posted by PonMan on 8:45 AM


Antara perkara yang membuatkan aku bengang dan tension bila beli DVD Game atau Software ciplak nie bila install tak boleh main... Geram gila.... Dah la bayar RM10, pastu nak tukar pun macam-macam hal pulak tanya... macam la aku nie bodoh sangat, sapa yang nak tipu sapa sekarang? Dah la berniaga DVD pirate pastu tak boleh main dan install plak, memang sial la perangai sesetengah Cina yang jual nie.... Korang tak check dulu ke DVD yang korang 'copy and paste' tue boleh Run ke tak.... Untuk kes FIFA 10 nie, file or folder Crack xdak langsung, macam mana nak main??? Bodoh!!!.... tau nak jual dan kaut untung jer... pastu nak tukar banyak alasan plak.... minta resit la apa la, padahal diorang sendiri tak bagi resit.... Nasib baik kedai dekat jer boleh pi tukar, kalau aku dok jauh, pakai burn la duit aku tue....

Hurmm next time aku rasa aku nak main game apa2 jer, beli jer yang PlayStation 2 x payah pakai PC... buat semak space hard disk jer.... tapi rugi la plak beli pc Intel Core i7 yang RM4 ribu nie mahal2 xleh main game..... Macam tue gak la install software, tue mcm2 software boleh guna, last2 satu or dua jer daripada beratus or berpuluh software yang disenaraikan... ada plak software yang keygen langsung xboleh pakai or dah expired key dia.... huhu nasib2...

2

Police In Action....

Posted by PonMan on 7:55 AM

Hari nie, 12 Oktober 2009 sekitar jam 2.00 petang aku dan housemate baru jer keluar makan lunch kat area Jusco Equine Park , Seri Kembangan.

Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan menuju ke persimpangan lampu isyarat, tiba - tiba nampak suasana panik kat simpang tue... aku ingatkan lampu isyarat rosak lagi ke, aksiden ke, tapi peristiwa tadi paling aneh la dalam hidup aku...

Mahu taknya, masa kereta bergerak menuju ke arah lampu isyarat tue, tiba-tiba ada sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol dan submachinegun MP5 berlari-lari atas jalan sambil jerit, " Ketepi, ketepi"... Kami pun dah cuak la, ingatkan diorang tue penjenayah nak lari ke, ada bom kat keta Honda Accord yang berhenti kat simpang tue ke... Keta Honda Accord tue dah dilanggar dari arah depan dengan keta Hilux... so aku rasa mmg suspek jenayah tue dah kena kepong dan terperangkap dalam tue la...

So dengan langkah spontan, kami pun saje buat2 patah balik dan ambik la video dari hp nie... sori la klu x clear.... apa2 pun nie ada gak gambar yang lebih jelas diambil dari forum Low Yat oleh Jiggy Head.



Keratan dari Utusan Online:

Dua perompak bank ditembak

12/10/2009 10:04pm

SUBANG JAYA 12 Okt. — Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam tiga siri rompakan bank di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas ditembak mati dalam kejadian berasingan hari ini.

Lelaki pertama yang berusia 33 tahun ditembak mati di Persiaran Equine Perdana Seri Kembangan berhampiran pusat membeli-belah Jusco pada kira-kira pukul 2.15 petang, manakala kejadian kedua membabitkan lelaki berusia 41 tahun di persimpangan Gohtong Jaya, Genting Higlands pada kira-kira pukul 3.30 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan ketika ditemui di Equine Perdana mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut. - Bernama




0

Bekas Pengarah Les Copaque hasilkan Boboiboy

Posted by PonMan on 7:49 PM

SETELAH berjaya mencipta fenomena Upin & Ipin yang sehingga kini menjadi perbualan ramai, pengarahnya, Mohd. Nizam Abdul Razak atau Nizam kini muncul dengan produk animasi terbarunya, Boboiboy.

Jika Upin & Ipin sehingga kini kekal dengan konsep 1Malaysia, Boboiboy pula mengetengahkan animasi tiga dimensi (3D) superhero berwajah tempatan.

Dulu ramai yang terpegun dengan hasil kerja yang dilakukan Nizam dan rakan-rakannya dalam menterjemah animasi Upin & Ipin sehingga berjaya diangkat ke layar perak.

Maka, tidak mustahil jika lebih ramai yang akan teruja menanti buah tangan terbaru mereka yang lebih segar dan menarik itu.

Bezanya kali ini, Boboiboy merupakan produk sulung milik syarikat Animonsta Studios yang diterajui oleh Nizam serta dua rakan kongsinya, Mohd Safwan Ab. Karim (Safwan) dan Muhammad Anas Abdul Aziz (Anas).

Dijangka bakal mencipta satu lagi fenomena terbaru ‘dunia’ interaktif tempatan, produk tersebut tidak mustahil mampu membawa kelainan dalam perkembangan profil dan penghasilan animasi tempatan.

Bertemu Nizam, Safwan dan Anas baru-baru ini, masing-masing rancak bercerita perihal siri projek animasi itu yang dijangka menemui peminat di kaca televisyen pada tahun depan.

Siri tersebut bakal disiarkan selama 26 episod di mana setiap satunya dengan durasi selama 11 minit.

“Ketika ini, kami masih dalam peringkat perbincangan. Watak-watak yang bakal memainkan peranan penting dalam siri ini sudah ada dan minggu ini kami akan cuba menyiapkan kesemua karakter itu.

“Berbanding animasi Upin & Ipin, dalam Boboiboy kami ingin berkongsi banyak pengetahuan. Ditambah dengan pengunaan pelbagai gajet, secara tidak langsung ia dapat menimbulkan pelbagai perasaan kepada yang menontonnya nanti.

“Bagi kami yang penting ialah penyampaian. Kalau boleh kami ingin mencipta satu lagi ‘ikon’ untuk kanak-kanak di negara ini,” kata Nizam mewakili rakan-rakannya.

Apa yang menarik dalam Boboiboy ialah beberapa daya tarikan yang terkandung meliputi karakter superhero Bo, Boi dan Boy, nilai-nilai murni, karakter makhluk asing (alien) dan juga unsur futuristik di sekitar ibu kota.

Ringkasnya mengenai animasi tersebut, ia memaparkan karakter utama iaitu seorang kanak-kanak bernama Boboiboy dan dibantu oleh beberapa karakter tambahan seperti Gopal, Ying, Yaya.

Dalam usaha menyalur bantuan kepada orang ramai, Boboiboy akan terpisah kepada tiga orang iaitu Bo, Boi dan Boy yang mempunyai tiga kuasa berbeza termasuk tanah, angin dan petir.

Turut diwujudkan ialah karakter makhluk asing yang membawa pulang biji kopi ke planetnya, namun kerana aroma dan rasa kopi yang begitu sedap, seluruh kroni makhluk asing itu sanggup turun ke bumi semata-mata untuk mendapatkan kopi tersebut.

Secara ringkasnya juga, Gopal iaitu karakter budak India yang mempunyai kuasa menukar sesuatu barang kepada barang yang lain.

Ying karakter budak Cina yang mempunyai kuasa yang membolehkannya bergerak pantas berbanding rakan-rakannya yang lain. Sementara itu, Yaya pula merupakan karakter kanak-kanak perempuan comel yang bertudung.

Boboiboy bukan saingi Upin & Ipin

Biarpun pernah menyertai Les’ Copaque Productions Sdn. Bhd. (LCPSB) dalam membangunkan animasi Upin & Ipin tetapi kata Nizam, kemunculan animasi Boboiboy bukanlah bertujuan untuk bersaing.

Nizam, Anas, Safwan serta lima lagi kakitangan LCPSB yang lain membuat keputusan keluar daripada syarikat tersebut pada September lalu demi mencari ‘tapak’ dalam mengembangkan lagi bakat mereka dalam dunia animasi tempatan.

Setelah bersengkang mata hampir sebulan akhirnya idea untuk melahirkan Boboiboy hampir menjadi kenyataan.

“Kami tiada sebarang masalah dengan LCPSB. Malah, selama ini haji (Pengarah Urusan LCPSB, Burhanuddin Md. Radzi) telah banyak membantu kami dan memberi tunjuk ajar sepanjang penglibatan kami menghasilkan Upin & Ipin.

“Kami keluar dari LCPSB pun sebab kami ingin mencuba sesuatu yang baru.

“Terus terang, kami memang sayang kepada karakter Upin & Ipin tetapi rasanya tidak salah jika kebolehan yang ada kami pelbagaikan demi memeriahkan lagi industri animasi tempatan sebab pulangannya nanti kepada penonton juga.

“Kita perlu mengikut peredaran masa. Mungkin ini juga rezeki buat kami. Sebab itu kami perlu berani mencuba sebab bagi kami lebih banyak pelopor dalam industri animasi lebih baik untuk industri ini,” kata Nizam yang juga Pengarah Urusan Animonsta Studios.

Menurut Nizam dalam industri kreatif tidak wujud persaingan yang terlalu besar kerana segalanya bergantung kepada penerimaan penonton.

Bagaimanapun, melihat kepada jalan cerita dan pelbagai kelainan yang ada pada Boboiboy, mungkinkah ia bakal ‘menelan’ populariti serta fenomena yang pernah dicetuskan oleh Upin & Ipin?

“Saya tidak rasa kehadiran Boboiboy akan mengganggu perjalanan Upin & Ipin. Ini kerana, jenama Upin & ipin itu sendiri sehingga kini begitu kuat.

“Saya rasa LCPSB pun ada strategi mereka sendiri dan dengan 70 orang kakitangan yang LCPSB ada, saya percaya mereka mampu mengekalkan apa yang Upin & Ipin ada kini untuk masa akan datang,” kata Nizam lagi.

Menurut Nizam lagi, sambutan terhadap Boboiboy menggalakkan apabila terdapat beberapa stesen penyiaran tempatan dan antarabangsa yang bertanyakan tentang produk tersebut.

Malah, beberapa agensi kerajaan termasuk Pusat Kandungan Kreatif Multimedia Malaysia (MAC3) di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), membekalkan beberapa perisian untuk kemudahan mereka menghasilkan Boboiboy.

Bukan itu sahaja mereka juga mendapat kerjasama daripada sebuah lagi agensi, Cradle Fund Sdn. Bhd., yang membantu menyalur dana bagi merealisasikan projek tersebut.

Kepada yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai Boboiboy dan Animonsta Studios, sila layari laman sesawang, www.animonsta.com.


Sumber : UTUSAN


2

Keputusan Muktamad Liga Pilihanraya Malaysia (LPM)

Posted by PonMan on 8:04 AM
Salam sejahtera kepada peminat sukan politaik Malaysia. Hari ini kita dapat saksikan satu lagi perlawanan dan pertembungan 1 lawan 1 antara pasukan Pakatan Rakyat FC dan Barisan Nasional FC yang berlangsung di Stadium Bagan Pinang, N. Sembilan.

Keputusan muktamad perlawanan tersebut dimenangi oleh pasukan BN FC dengan jumlah jaringan gol sebanyak 8,013 manakala pasukan lawan pula sebanyak 2,578. Gol untuk pasukan BN FC dijaringkan oleh pemain yang pernah cetuskan kontroversi skandal rasuah dan telah menerima penggantungan kad merah oleh UMNO FA, Tan Sri Isa Samad. Kemenangan BN FC ini telah menjadikan agregat semasa kepada 7-2.

Pada sesi sidang media selepas tamatnya perlawanan ini, wakil pasukan PAS, Salahuddin Ayub memberitahu pihak media bahawa mereka terpaksa akur dan menerima pilihan hati penyokong di Bagan Pinang. "Ia adalah petanda dan hari yang gelap untuk Malaysia kerana ikon korupsi telah menjadi wakil kepada rakyat. Walaupun mereka menang dengan undian pilihanraya tapi sebenarnya mereka tewas di tangan gejala rasuah dan korupsi," jelas Salahuddin.

Manakala bagi bekas pemain dan barisan kejurulatihan BN FC yang hanya mahu dikenali sebagai Ku Li pula menyifatkan pasukannya lebih baik kalah pada perlawanan malam ini kerana tidak mahu penyebaran wabak gejala rasuah dan korupsi kembali di dalam pasukannya. Bagi jurulatih BN FC, Sir Muhyiddin Yassin pula menyifatkan kejayaan pasukan mereka hasil jaringan Isa Samad membenam pasukan lawan kali ini adalah sesuatu yang diluar jangkaan dan mula membayangkan ada satu arus perubahan dalam pasukannya kali ini. Malah ujar beliau lagi, kejayaan BN FC pada saingan Liga Pilihanraya hari ini adalah berpunca strategi dan taktikal serta formasi yang lebih utamakan penyokong minoriti, kaum India di estet.

Sekian saja laporan keputusan muktamad dari Stadium Bagan Pinang, N.Sembilan. Saya mewakili krew-krew kami di studio SPR Supersports ingin mengucapkan selamat menjalankan tugas tanpa korup kepada pemain Isa Samad dan apa yang diharapkan oleh para penyokong, jangan lagi dipersia dan disalahgunakan. Akhir kata, "Majulah Politaik Untuk Negara".

Salam hormat.

1

Highlight Liga Pilihanraya Malaysia

Posted by PonMan on 8:48 PM

Salam sejahtera semua, bertemu lagi kita pada kali ini dalam siri Highlight Liga Pilihanraya Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi channel SPR SuperSports. Bersama saya, Ponman akan menemani anda untuk menghuraikan sepintas lalu mengenai perkembangan industri politaik di tanah air kita.

Dan seperti biasa, nampaknya pasukan Pakatan Rakyat masih mendahului dan jauh meninggalkan pasukan Barisan Nasional yang dahulunya digelar elit dan kini sekarang sedang berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran dimana kedudukan mereka terletak di persada bawah liga. Untuk rekod, pasukan underdog yang meningkat naik ini, Pakatan Rakyat telah mendahului dengan agregat 7-1.

Untuk episod kali ini, kita akan memberi tumpuan kepada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bagan Pinang, N.Sembilan pada 11 Oktober 2009. Setelah proses penamaan calon telah dijalankan, nampaknya pasukan Barisan Nasional memilih untuk mencalonkan pemain yang telah mendapat kad merah dan pernah digantung oleh Majlis Tertinggi UMNO FA kerana rasuah manakala pasukan lawan hanya meletakkan pemain yang berjawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Bagaimanapun, ia mungkin satu pertembungan yang menarik kerana ia merupakan 1 lawan 1 dan semestinya pasukan Barisan Nasional tidak mahu berputih mata lagi dengan kekalahan demi kekalahan dibawah pentadbiran pengurusnya, DS1M Najib Tun Razak dan dibantu oleh jurulatih Sir Muhyidin Yassin. Manakala bagi pasukan Pakatan Rakyat pula sudah tentu mahu menjarakkan kedudukan dan mendominasi Liga Pilihanraya Malaysia musim ini walaupun mereka bertandang ke kubu kuat lawan.

Bagi pengurusnya, Anwar Ibrahim dan jurulatih, Hadi Awang, mereka telah menyusun strategi dan memastikan corak formasi yang akan digunakan untuk pertembungan esok adalah sulit dan mengambil sikap untuk merendah diri tanpa perlu bantuan promosi media. Sebaliknya bagi pasukan BN pula, nescaya media memainkan peranan penting kepada mereka kerana itulah satu-satunya cara untuk melakukan perang psikologi dan mulut terhadap lawan mereka dan dalam masa yang sama cuba menarik minat dan mempengaruhi kembali para penyokong untuk mengundi mereka dalam perlawanan esok.

Walauapapun jua corak formasi dan strategi yang akan digunakan oleh kedua-dua pihak, ianya akan bergantung kepada jumlah penonton yang akan datang ke stadium untuk mengundi pasukan kesayangan mereka. Bagi mereka, yang hanya mahukan pemain yang disukai akan dapat jalankan tanggungjawab serta amanah yang telah diberikan untuk menjamin kesejahteraan dan menaik taraf hidup para penyokong. Dan bagi pihak SPR FA pula, mereka akan lebih berhati-hati untuk kali ini dalam memastikan tiada penonton hantu atau guna tiket yang dibeli oleh ulat-ulat tiket yang tak sah semasa datang ke stadium. Bagi FRU pula, mereka perlu mengetatkan lagi keselamatan para penonton moga tiada lagi kecederaan atau kerosakan seperti insiden di Stadium Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Sekian saja siaran Highlights Liga Pilihanraya Malaysia untuk kali ini dan kita akan bertemu kembali esok pada waktu yang sama untuk melaporkan berita terkini khas untuk anda. Pesanan saya dan krew-krew saya di studio mengucapkan "Pilihlah Calon Yang Bersih dengan Bijak". "Majulah Politaik Untuk Negara".

Sekian, terima kasih.

2

Malam Anugerah MSC Apicta Awards 2009

Posted by PonMan on 12:13 AM

Tepat jam 7.00 malam waktu Malaysia, aku dan group tiba di PWTC untuk majlis yang penuh gilang gemilang dan berprestij dalm industri ICT. Walaupun kami sampai tepat pada masa, tapi ianya berpunca daripada atur perjalanan yang baik, sebab kami gerak dari Seri Kembangan jam 5.30 petang... dan seperti biasa sampai je di KL, jem gila babi weh......


Apa2 pun setibanya di sana, kami disambut bagaikan artis diatas hamparan karpet merah macam masuk Grammy Awards plak dgn penuh limpahan lampu dan lensa kamera daripada paparazi.... tambah pulak, banyak gila tetamu VIP daripada menteri dari kementerian sains teknologi, kepada datuk2 dan x lupa jugak ada artis jemputan seperti Cheryl Samad dan Shahrizan (pengacara majlis), Diana Danielle, Aizat, Hannah Tan dan lain2 lagi....


Seperti biasa, wakil dari Limkokwing University memenuhi pencalonan untuk kategori Best of Tertiary Student Project - Creative Multimedia dengan 3 pencalonan musim nie termasuk team aku... anugerah disampaikan oleh Upin dan Ipin. walaupun group kami tak menang, tapi still leh bangga coz wakil Limkokwing berjaya jadi pemenang dan pengalaman jadi finalist dan hadir ke majlis anugerah seperti nie pun dah byk suntik semangat aku utk terus melakukan yang terbaik dengan menghasilkan karya-karya lebih berkualiti di masa akan datang.




p/s : Gambar credits to Obefiend

2

MSC Apicta Awards 2009

Posted by PonMan on 6:48 PM






Sukacita aku nak bagitau korang kat sini bahawa projek Film Mobilementary yang aku dan group aku buat semester lepas telah dipilih sebagai finalis untuk merebut anugerah paling berprestij anjuran PIKOM dan MSC ini, MSC Apicta Awards 2009. Jadi sekarang kami akan berusaha untuk memantapkan projek ini sebelum membuat 'presentation' di hadapan panel juri pada Rabu ini, 9 September 2009 sebelum diumumkan siapakah pemenangnya pada 8 Oktober 2009 di PWTC dimana anugerah bakal disampaikan oleh PM Najib sendiri.


Ternyata usaha dan penat lelah aku selama ini dalam memberikan komitmen penuh untuk siapkan projek ini telah mendatangkan hasil seperti ini. Apa-apapun aku ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Max Schleser kerana beliau adalah seorang pelopor industri teknologi film mobile ini. Aku amat bersyukur dan bertuah kerana dapat berkenalan sambil menimba ilmu daripada seseorang sepertinya. Sekarang aku akan terus memandang kedepan dan bersedia untuk hadapi satu lagi cabaran hidup dengan harapan agar berpeluang untuk aku genggam trofi dan bersalaman dengan PM yang boleh menaikkan semangat aku untuk terus berusaha menjadi yang terbaik. Apa-apa pun presentation dah dibuat, sekarang aku hanya berserah kepada takdir pada malam 8 Oktober ini, di PWTC.

Copyright © 2009 PonMan Creative Mind All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.