2

SATU : Bukti Kepuasan Berkarya

Posted by PonMan on 2:38 AM


Alhamdulillah, kita dah masuk tahun 2011. Sekelip mata saja, kita dah pun berada di bulan APRIL.... Bermakna masih ada lagi lebih kurang 7 bulan untuk aku melangkah ke jinjang pelamin bersama insan tersayang yang bernama RUBITTA RAHAIMI (gadis setaman yg dimaksudkan tue la.... dalam post aku sebelum nie...hehehe)

OK, kembali kepada topik asal... apa yang aku nak share dan ketengahkan disini, adalah pengalaman berharga aku sepanjang proses penggambaran SHOWREEL filem pertama aku dengan usaha dan kerjasama 3 individu yang lain, saudara Dr. Arif Kamaruddin, Faisal Hamdi, dan juga abg Yazeid Kasbola.... ternyata walaupun memang penat dan keletihan sepanjang tempoh penggambaran 2 hari pada minggu lalu, tapi pengalamannya tetap tak dapat dilupakan....


Memang benarlah kata-kata idolaku DONALD TRUMP, "Without PASSION you don't have ENERGY, without energy you have NOTHING." Oleh kerana PASSION (Semangat) aku terhadap menghasilkan filem-filem aksi sebegini, setiap keringat dan kudratku telah menjadi sumber ENERGY (tenagaku) yang luar biasa, kerana walaupun keletihan namun aku tetap dapat berjaya menghasilkan karya aku bersama 3 sahabat yang lain.


Seperti yang aku beritahu tadi, projek filem SATU ini adalah kerjasama dengan 3 individu yang lain. Setiap individu yang terlibat ini memainkan peranan yang amat berkesan sekali dalam menjayakan showreel filem ini dan ternyata hasil gabungan pengetahuan, bakat, kemahiran dan juga pengalaman yang dimiliki oleh 4 orang kami ini telah banyak membantu memudahkan kerja-kerja pengambaran filem ini.



Dr. ARIF KAMARUDDIN, adalah individu penting yang memainkan peranan tercetusnya idea filem SATU ini kerana beliaulah yang bertanggungjawab dalam menghasilkan jalan citer yang menarik menerusi skrip yang dihasilkan. Walaupun latar belakang beliau dalam bidang kedoktoran, namun beliau amat teruja sekali menghasilkan filem ini cuma mungkin kekurangan pengalaman beliau dalam industri perfileman menjadi titik permulaan atau turning point ke arah menjayakan projek filem SATU ini secara kerjasama. Namun, dengan semangat dan komitmen yang ditunjukkan beliau dalam melabur dan bertindak sebagai PRODUCER amatlah dihargai dan dibanggakan. Siapa sangka seorang doktor mampu menghasilkan cetusan idea filem aksi sebegini.



FAISAL HAMDI, adalah salah seorang kenalan aku jumpa semasa kami bekerjasama dalam merakamkan detik indah majlis perkahwinan UMIE AIDA tahun lalu, dan dari situ kami mula berkenalan dan menyedari mempunyai minat yang sama, iaitu bercita-cita menghasilkan satu filem aksi bersama. Bagi aku, beliau memang mumpunyai minat yang mendalam kerana aku begitu teruja dengan minatnya dalam mengumpul replika senjata-senjata perperangan seperti raifal, mesingan, pistol, shotgun dan sebagainya.




MOHD YAZEID KASBOLA, merupakan salah seorang bekas tenaga kerja CST Production tempat aku bekerja sekarang nih... tapi sekarang beliau dah ada company sendiri EMWAIKEI ARTNET... pada pandangan aku, kelebihan yang beliau miliki adalah kepakaran beliau dalam menghasilkan shot-shot menarik dengan menggunakan kamera HDSLR. Lihat saja hasil gabungan beliau dan Faisal Hamdi dalam menghasilkan short film prewedding bercorak aksi "Behind Love Lines"...



Dan aku sendiri pula, aku akui, aku dari sudut teknikal dan kemahiran mengendalikan kamera tak adalah begitu pandai, namun dengan pengalaman aku belajar di UK dan juga menghasilkan filem pendek arahan aku REVOLUSI J, telah banyak membantu aku untuk terus improve bakat aku dari sudut pengarahan dan screenplay untuk filem ini. Kebanyakan shot-shot yang dirakam dalam filem ini telah diolah dan direka mengikut citarasa aku kerana aku suka karya aku berlainan dari filem-filem aksi yang sebelumnya.




Itulah yang dikatakan KERJASAMA! Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan, dan kami berempat telah berkongsi kelebihan yang ada untuk menghasilkan filem SATU ini, dan secara jujurnya, tanpa seorang daripada kami berempat mungkin ada cacat celanya dalam filem ini kelak. Dengan idea dan cerita yang ditulis oleh Dr. Arif Kamaruddin, dibantu oleh Faisal Hamdi yang mempunyai pengalaman bidang ketenteraan dan arif dari sudut persenjataan serta kepakaran saudara Yazeid Kasbola yang bertindak selaku Director of Photography (Jurukamera) dan pengalaman aku dalam menghasilkan filem REVOLUSI J sebelum ini, telah menjadi INTIPATI dan KUNCI KEJAYAAN penghasilan showreel filem ini.






Kenapa filem SATU ini dihasilkan?





Sepertimana yang kita tahu, industri perfileman negara sekarang banyak didominasi oleh filem SERAM, ROMANTIK dan KOMEDI...dan kekurangan pengarah dan penerbit yang mahu mencuba dan melabur dalam hasilkan filem genre AKSI. Kalau ada sekalipun filem AKSI, ia bukanlah lebih menjurus kearah semangat PATRIOTISM .... bilakah kali terakhir anda semua menonton filem aksi bercorak kenegaraan ini? Bagi aku, filem terakhir yang aku penah tgk iaitu Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman.

Walaupun itu filem kenegaraan, namun filem itu berkisar usaha untuk mencapai kearah kemerdekaan dan semua itu sudah menjadi SEJARAH. Sejarah memang penting untuk kita pertahankan kedaulatan asal usul kita, namun kenapakah golongan muda sekarang langsung tak berminat mempelajari dan menghayati serta menghargai makna kemerdekaan itu? Adakah sesudah kita merdeka bermakna kita sudah selamat dari ancaman musuh? Ya, mungkin kita berasa selesa dan selamat sekarang sehingga dibuai mimpi indah sedangkan negara-negara ARAB lain serta negara jiran sudah mula bergolak, tapi adakah kita sedar sekiranya kita terlalu LEKA pada hiburan dan kemewahan hidup yang kita nikmati sekarang, mungkin akan ditarik balik dan hilang dalam gengaman kita dalam sekelip mata? Pernahkah kita bayangkan sekiranya negara kita sudah diceroboh dalam diam? Petanda-petanda itu sudah ada, kerana sehingga hari ini terdapat ramai pegawai kerajaan dan badan-badan berkanun yang sepatutnya menjaga kedaulatan negara, tetapi menjadi korup angkara rasuah dan sebagainya.

Jadi itulah misi utama filem ini diterbitkan, untuk memberikan kesedaran kepada semua terutamanya golongan muda, kenapa kemerdekaan negara itu amat penting untuk dipertahankan. Kebanyakan filem aksi berkisar kepada sejarah untuk mencapai kemerdekaan, namun bezanya filem ini adalah untuk menerangkan usaha-usaha golongan muda dan belia dalam mempertahankan kemerdekaan.

Contoh paling senang, sekiranya dari sudut sukan, tidak kiralah sukan apa sekalipun, sebagai contoh sukan bola sepak, sekiranya sesuatu pasukan itu menjuarai liga dan piala yang dipertandingkan, adakah anda pernah lihat pasukan yang sama mempertahankan kejuaraannya itu untuk tempoh yang panjang dan selamanya? Mustahil bukan! Jadi adalah tak mustahil bagi kita sekiranya kita sebagai rakyat MALAYSIA mempertahankan kemerdekaan sebagai lambang kejuaraan kebebasan bakal terdedah dengan unsur-unsur negatif dari anasir luar. Sama saja konsepnya.



Selain itu juga, filem ini diterbitkan untuk menaikkan kembali semangat dan memupuk minat golongan muda untuk menyertai sektor keselamatan dan ketenteraan dalam negara, atau erti kata lain, boleh menjadi "the next generation of Malaysian Heroes".... dan paling utama, filem ini mahu ketengahkan kekuatan dan kehebatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mungkin menerusi filem ini, segala kehebatan dari sudut persenjataan dan alatan yang dimiliki akan dapat dipertontonkan kepada umum serta memberi sedikit info dari sudut pembelajaran kepada rakyat mengenai cara-cara penggunaan senjata yang digunakan sekarang. Daripada pihak ATM sekadar membuat demonstrasi atau latihan ketenteraan semata-mata, adalah lebih baik menerusi filem, dapat dijadikan satu latihan yang lebih realistik dengan mewujudkan sesuatu situasi yang sebenar lebih dramatik.


Kebebasan berkarya....

Bagi aku, kalau nak menceburi bidang industri seni filem ini, apa yang penting adalah kebebasan berkarya... kerana melalui ini, maka lebih banyak cetusan idea dan hasil karya yang lebih bermutu dapat diketengahkan.... mungkin aku harap FINAS terutamanya dapat meneliti semula garis panduan yang lebih flexible kepada golongan muda seperti aku dan yang lain utk mengembangkan bakat mereka. Ini kerana, makin lama filem-filem yang dihasilkan sekarang dapat dilihat sudah slaptik dan ketandusan idea dan kebanyakan antara mereka, tidak mempunyai mesej yang kukuh dan bercorak hiburan semata-mata, tidak kearah pendidikan, moral pengajaran, ilmiah dan sudut yang lebih positif.

Ini adalah kerana, kebebasan berkarya bakal memberikan satu kepuasan kepada golongan yang menghasilkan karya tersebut kerana tidak terlalu terbatas idea fikiran mereka angkara garis panduan yang kurang ideal dan praktikal dimasa sekarang. Kita perlukan perubahan...

Setiap kebebasan berkarya itu akan terhasil sekiranya golongan muda seperti aku ini diberikan PELUANG yang lebih luas untuk berkarya dan mencipta nama... jangan kerana namanya tak glamer, popular dan tiada nilai komersial, bermakna golongan muda itu tak mampu menghasilkan karya yang lebih bermutu daripada yang sudah berpengalaman. Namun, disebabkan industri filem kita yang terlalu kecil, peluang-peluang menghasilkan filem bajet besar ini agak terbatas sekiranya tak didokong atau mendapat perhatian golongan yang berpengaruh... bukan semua syarikat produksi menyedari kelebihan yang dimiliki oleh golongan muda sekiranya tidak diberikan peluang....

Dan aku, Faisal Hamdi, Dr. Arif dan Yazeid adalah antara individu dari golongan muda yang berani menyahut cabaran sebagai gabungan 'underdog' untuk menyaingi kehebatan pengarah2 tersohor tanah air dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menarik perhatian penerbit2 filem tanah air untuk menilai sendiri sejauhmana keupayaan dan kemampuan kami berempat menghasilkan filem ini walaupun kami kekurangan dana dan tidak memiliki profil dan nama yang gemerlapan seperti yang lain. Dan sekiranya kami mendapat peluang yang diidamkan sekalipun, kami tetap akan berSATU sebagai sebuah gabungan tenaga produksi yang memerlukan antara satu sama lain.

Kerana itulah misi dan visi kami untuk filem SATU : SUMPAH AKU TAKKAN UNDUR! Nantikan kemunculan TRAILER dan SHOWREEL FILEM SATU tak lama lagi!

Copyright © 2009 PonMan Creative Mind All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.