1

MERDEKA : Penjajahan Adalah Pengajaran....

Posted by PonMan on 10:44 AM
Syukur Alhamdulillah kerana hari ini 31 Ogos 2009, genaplah usia kemerdekaan negaraku yang tercinta, Malaysia kepada 52 tahun. Walaupun sambutan kemerdekaan tahun ini adalah sederhana kerana menghormati Ramadhan dan wabak selsema babi, namun ia tetap memberi penuh makna kepada aku. Walaupun malam ini tiada kedengaran laungan kemerdekaan seperti kebiasaan, tapi menara jam Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka tetap berbunyi di kala tiba detik jam 12 tengah malam.

Walaupun kita sebenarnya merdeka selama lebih separuh abad, tapi adakah kita menghayati atau mendalami sendiri semangat jiwa merdeka atau patriotik dalam diri kita? Sejauhmanakah pencapaian kita dalam semua aspek di mata dunia? Adakah kita berpuas hati dengan pencapaian yang kita miliki sekarang? Walaupun tak dinafikan, negara kita telah alami satu proses transformasi pembangunan daripada hanya kawasan lombong bijih timah, kini bertukar menjadi ibukota yang terletaknya salah satu bangunan tertinggi di dunia iaitu KLCC.

Sedar atau tidak, pada hemat aku, sebenarnya penjajahan telah memberi pelbagai pengajaran. Setiap apa yang berlaku di dunia adalah merupakan hikmah untuk manusia berfikir rasional. Di Malaysia saja, ada pelbagai jenis ragam manusia, ada yang bersifat nasionalisme, ada yang bersifat terbuka, toleransi dan mahukan perubahan serta sebagainya. Sambil menunggu ketibaan detik jam 12 tengah malam, aku sempat menonton satu filem patriotik, 1957 : Hati Malaya. Filem ini mengisahkan tentang perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Antara watak utama yang ada dalam filem ini yang menarik perhatian aku ialah Dato Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Pada pandangan aku menerusi filem ini, aku lihat kedua-dua tokoh ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu lihat tanah air merdeka. Namun begitu, melihat kepada karekter kedua-dua tokoh tersebut, agak berbeza sekali. Melihat kepada watak Dato Onn Jaafar dalam filem tersebut, beliau sebenarnya amat disanjungi dan mempengaruhi minda bangsa Melayu supaya berjuang mencapai kemerdekaan, tapi pada waktu-waktu tertentu aku dapat lihat sikit 'lack of spirit and leadership'. Kadang kala aku tengok Dato Onn Jaafar agak emosi, serius, mudah mengalah dan patah semangat serta buat keputusan drastik dan terburu-buru sehinggakan menyusahkan banyak pihak dan menyentap semangat penyokongnya. Baru kena kritik sikit dah merajuk nak letak jawatan dan undur diri seolah-olah beliau agak sukar nak kawal tekanan yang diterimanya.



Sebaliknya karekter Tunku Abdul Rahman dalam filem ini nampak lebih bersantai dan enjoy dengan apa yang dia buat. Telatahnya yang suka bergurau, gelak tawa bersahaja dan ramah inilah sebenarnya menjadi kunci atau titik mula sinar kemerdekaan negara, kerana sifat peribadi beliau itu telah berjaya menarik perhatian rakyat untuk sama-sama perjuangkan kemerdekaan. Selain itu, sikap beliau yang 'open-minded', sikap tak putus asa tanpa tekanan serta toleransi menerima perubahan inilah sebenarnya membuka pintu hati bangsa lain dan penjajah British untuk menerima 'approval' kemerdekaan negara. Jadi secara tak langsung, Tunku Abdul Rahman sebenarnya memiliki ciri seorang pakar runding atau 'negotiator'. Cuba kita bayangkan, seandainya kita masih berkeras hanya semata-mata untuk perjuangkan nasib Melayu pada ketika itu sedangkan pada waktu itu pun kita sebenarnya hidup dalam budaya berbilang bangsa, adakah kita boleh capai kemerdekaan sepertimana yang kita rasai nikmatnya hari ini? Jadi sikap toleransi dan tolak ansur beliau untuk menerima kaum lain sebagai sebahagian daripada warganegara atau 'part of the family' wajar dijadikan contoh, patut dipuji serta dihargai oleh semua kaum. Seperti istilah 'give and take' dan pemikiran 'kalau nak beli barang yang berkualiti dan tahan lama, perlu sanggup bayar harganya' wajar kita renungkan. Mungkin pada pemikiran beliau, daripada hanya mementingkan bangsa Melayu pada ketika itu atau mengadakan suara bantahan secara keras tentang tindakan menentang Malayan Union, boleh mengakibatkan hilang terus potensi untuk merdeka, beliau terpaksa mengambil risiko untuk meletakkan salah satu syarat menubuhkan parti yang terdiri daripada berbilang kaum dan jadikan mereka sebagai warganegara sebagai jalan terakhir untuk capai kemerdekaan secepat yang mungkin untuk hilangkan penderitaan rakyat selama beratus-ratus tahun penjajahan. Mungkin secara tak langsung wakil British akan berfikir untuk melihat sendiri sejauhmanakah kita mampu hidup dan urus negara kita sendiri yang terdiri daripada parti pelbagai kaum tanpa bantuan mereka. Dan akhirnya kita berjaya buktikan itu dengan kemenangan besar parti Perikatan dan akhirnya kita merdeka.

Sedar atau tidak, sekiranya kita tak dijajah oleh mana-mana kuasa besar, adakah kita bersedia kenal dunia luar dan menerima arus perubahan dan permodenan seperti yang kita kecapi sekarang atau kita masih lagi jauh ketinggalan seperti katak di bawah tempurung. Mungkin tanpa teknologi penjajah bawa, mungkin kita tak merasai atau kenal apa itu kereta, mungkin juga sampai sekarang kita tak tahu langsung pasal kereta serta Proton mungkin tak wujud langsung. Mungkin juga sampai sekarang kita hanya masih berjalan kaki sepanjang masa dan kalau kita tak terima kemajuan teknologi komunikasi, mungkin sekarang kita masih dengan sistem manual menghantar surat, tiada Hand Phone, atau emel. Lebih teruk lagi, mungkin peluang pekerjaan kita hanya setakat petani, nelayan, penoreh getah dan pelombong semata-mata. Takkan ada usahawan, ahli korporat dan sebagainya. Jadi inilah hikmah disebalik era penjajahan dahulu.

Itu kisah era sebelum kemerdekaan. Bagi era selepas kemerdekaan pula, kita dapati melalui proses demokrasi dan bersikap terbuka inilah, kita boleh menerima perubahan seperti arus kemodenan sepertimana yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sepanjang lebih dari 20 tahun pentadbirannya. Pada pendapat aku, Tun Dr. Mahathir adalah seorang tokoh yang berwawasan tinggi dan pemikirannya jauh ke hadapan. Oleh itu, lahirlah satu wawasan yang menjadi matlamat kita iaitu Wawasan 2020. Sedar atau tidak, menerusi wawasan inilah, kita dapat merasai nikmat kemajuan seperti adanya LRT, KLCC, Putrajaya dan sebagainya. Kemajuan ketara yang kita kecapi di zaman beliau, telah membuka mata banyak pihak terutamanya negara-negara Eropah, Arab, China dan Afrika tentang kewujudan Malaysia ini. Siapa sangka, ketika aku pergi rombongan ke China suatu ketika dulu, apabila berkunjung ke satu tempat dengan berkibarnya bendera Malaysia, maka penduduk setempat terus mengenali dan menghormati insan yang bernama Mahathir ini. Ini adalah bukti, sekiranya kita berjaya membuat perubahan dari sebuah negara mundur dan tak dikenali dunia luar, kini negara kita telah menjadi contoh atau 'role-model' bagi negara-negara miskin yang lain. Malah kita juga telah diundang untuk menyertai atau mengetuai pertubuhan antarabangsa seperti OIC, Asean dan sebagainya untuk berkongsi tentang kejayaan kita. Inilah ciri yang aku nampak mengenai Tun Mahathir, seorang yang optimis, tegas, dan bolehlah dianggap sebagai diplomatik sesuai dengan gelaran yang diterimanya, Bapa Moden Malaysia. Jadi aku fikir dan juga mengharap semua rakyat faham kenapa beliau nak sangat melaksanakan proses 'PPSMI' nya itu kerana beliau sudah berfikiran jauh dalam majukan dan sama tarafkan anak bangsa supaya dapat bersaing dan kuasai dunia global, tapi malangnya ada pihak yang kononnya 'lebih patriotik' yang takut Bahasa Melayu tersisih tak berfikir panjang dan mereka ini sebenarnya golongan yang tak boleh terima perubahan sama seperti zaman Tunku Abdul Rahman dulu.

Namun begitu, benarlah kata orang untuk mengekalkan apa yang kita kecapi adalah lebih sukar daripada usaha ke arah capai sesuatu kejayaan. Inilah tugas berat yang dipikul oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi aka Pak Lah ini. Bayangkan usaha Tun Mahathir selama lebih dari 2 dekad untuk membangunkan negara dan dikenali mata dunia sebenarnya susah bagi Pak Lah untuk mengekalkan kestabilan dalam mengharungi situasi semata dimana beliau hanya mampu bertahan di kerusi panas Perdana Menteri ini selama lebih kurang 5 tahun saja. Malah paling ketara, zaman pentadbiran Pak Lah juga telah menjadikan parti yang dahulunya diperjuangkan oleh Dato Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang dulunya dikenali sebagai parti Umno dan Perikatan (kini Barisan Nasional) ini begitu rapuh dan membawa pergolakan besar dalam dunia politik tanah air. Buktinya, BN telah tewas teruk pada pilihanraya ke-12 yang lalu. Sekelip mata saja parti yang dulunya menjadi nadi perjuangan dan tulang belakang rakyat Malaysia kini telah diketepikan oleh rakyat kerana kecewa dengan pentadbiran semasa yang korup dan lebih berkepentingan peribadi. Dimanakah silap mereka?

Perjuangan parti adalah tetap sama dari dulu hingga sekarang, tapi apa menjadi masalahnya sikap sesetengah ahli yang menjadi wakil kepada rakyat ini mempunyai agenda sendiri yang membelakangkan rakyat dan salah guna kuasa yang mereka ada sehingga rakyat sudah hilang kepercayaan lagi seperti politik wang, skandal dan sebagainya. Bayangkan parti yang dahulunya memenangi 52 kerusi daripada jumlah keseluruhan 53 pada era permulaan kemerdekaan, kini rapuh dengan kehilangan banyak kerusi kepada pembangkang sehingga banyak negeri berpindah hakmilik. Ini adalah salah satu bentuk penjajahan kecil kerana ianya hanya jatuh ke tangan pembangkang, belum lagi jatuh ke tangan penjajah luar. Inilah satu pengajaran dan iktibar sebenarnya. Selain itu sikap Pak Lah yang seolah-olah terlalu mengharapkan dan mempercayai barisan kabinetnya yang korup dan lepas tangan juga mungkin jadi faktor penyumbang kepada kekalahan BN. Apalah perubahan yang dapat dibanggakan rakyat melalui manifesto Islam Hadhari beliau sedangkan masalah korup pun tak mampu nak diatasi? Sayangnya cogan kata 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang' ini telah membuatkan diri dan partinya telah jatuh terkangkang sebelum hampir terhilang. Maka cogan kata baru bakal berbunyi seperti ini: 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang, Jatuh Terkangkang, Terus Hilang'. Lihat saja hakikat sebenar, sejak beliau mengundur diri daripada jawatan PM dan kabinet, jarang sekali kedengaran nama beliau disebut dan mendapat liputan meluas daripada media berbanding dengan Tun Dr M, PM kita yang sebelumnya. Inilah dikatakan hikmah dan pengajaran. Benarlah kata orang tua, "Raja Dijunjung, Pemimpin Disanjung". Tak keterlaluan untuk katakan disini, sebenarnya rakyat dan kerajaan masih dan lebih perlukan pemikiran Tun Mahathir sehinggakan ada yang terlupa apa sumbangan Pak Lah kepada negara bukan? Inilah uniknya erti pengajaran dalam zaman merdeka ini.



Sekarang, kita berada didalam satu lagi era yang cuba membawa perubahan dan misi menyelamatkan keadaan yang terpaksa dipikul oleh PM kita yang terkini, Datuk Seri Najib Tun Razak, legasi dan generasi kedua keturunan Tun Abdul Razak dengan konsep penjenamaan semula atau 'rebranding' yang dikenali sebagai 1 Malaysia dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' ini. Konsep yang cuba dibawa Najib ini adalah bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia dibawah satu payung. Pada pandangan peribadi aku, ini adalah satu trend dan cara kepimpinan moden dimana setiap pemimpin negara yang baru dilantik, menyuarakan cogan kata baru. Daripada konsep Wawasan 2020 dan Malaysia Boleh kepada Islam Hadhari 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang' hinggalah kepada konsep 1 Malaysia ini, apa sebenarnya kita sebagai rakyat mampu harapkan? Berita Warta Perdana TV1 semalam telah melakukan survey kepada rakyat sejauhmana mereka faham mengenai konsep ini, namun lihat saja respon sesetengah pihak yang tak ambil peduli dan lebih teruk lagi ada yang tak tahu langsung apa itu 1 Malaysia.

Mungkin dengan mendengar slogan, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' ini adalah cara Najib untuk memulihkan kepercayaan rakyat yang terguris akibat terabai di zaman Pak Lah dulu dan langkah untuk memperbaiki perpaduan negara yang sejak kebelakangan ini kian terhakis akibat salah faham atau ada pihak yang cuba protes dan jadi batu api kerana kebodohan akal fikiran untuk menerima hidup aman dan majmuk seperti apa yang ditonjolkan oleh DAP, Hindraf dan sebagainya. Ini berlaku kerana golongan ini sebenarnya tak menghayati erti kemerdekaan, tak menghormati dan mempersoalkan hak orang lain, tak menghargai keamanan serta tak sedar diri bahawa mereka hanyalah penumpang yang diterima sebagai 'a part of family' yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman dulu semasa proses merdeka. Bagi aku golongan seperti ini sepatutnya pulang ke negara asal sekiranya mereka rasa tak selesa dan tak puas hati tinggal di negara kita daripada membawa masalah.

Namun begitu, melihat kepada konsep 1 Malaysia ini, ada juga pihak berpendapat konsep ini bakal 'memakan' tuan kerana wujudnya perbezaan kefahaman dan pendapat dalam menganalisis kata-kata Najib sebagai usaha untuk meminggirkan orang Melayu. Ada pula yang bimbang slogan itu akan membawa kepada usaha merampas hak Melayu. Adakah ini benar? Sejauhmana kebenarannya, rakyat perlu menilai sepanjang tempoh pentadbirannya dan perlu peka atau 'alert' setiap perubahan yang dilakukannya. Kerana melalui konsep 1 Malaysia ini, dimana mengetengahkan perpaduan kaum seperti kata-kata Najib dalam ucapan pertamanya sebagai PM, “Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep 1 Malaysia.” mungkin bakal ada pihak yang mengambil kesempatan. Daripada wujudnya pelbagai bangsa yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India tetapi kini hanya mahu dikenali sebagai Bangsa Malaysia. Malah melebih menakutkan lagi, ada pula kedengaran usaha untuk menghapuskan terus status 'bangsa' dalam identiti kad pengenalan kita semata-mata nak menunjukkan persamaan antara semua kaum dimana menyebabkan ada pihak mengutarakan kebimbangan kononnya Melayu akan kehilangan hak. Ada juga isu kedengaran mengenai kelulusan projek pembinaan sekolah dimana lebih banyak sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil daripada sekolah agama atau menaiktaraf sekolah pondok ini. Adakah isu-isu seperti ini adalah cara Najib bertindak untuk memecahkan tembok etnik seperti yang dimaksudkan dalam ucapannya itu? Sekiranya benar, maka inilah satu lagi tanda bencana dan malapetaka untuk kita kembali kepada proses dijajah dan mungkin Malaysia bakal ikut jejak negara seberang tambak, Singapura dimana Melayu diketepikan dan dianaktirikan, bangsa lain mendapat pangkat dan nama. Adakah kita bersedia untuk kembali ditindas dan minda dijajah oleh orang lain setelah kita merdeka 52 tahun?

Mungkin dengan konsep Najib ini sebagai cara untuk menarik perhatian kaum lain yang mungkin ada yang akan gembira dengan konsep ini kerana mereka tak perlu lagi bersuara lantang mempersoalkan hak keistimewaan Melayu kerana masing-masing akan mendapat peluang yang dikatakan 'sama-rata' atau sebagai satu lagi cara menerima 'lebih keterbukaan tanpa batasan' yang mungkin bakal mengakibatkan bangsa Melayu sendiri akan disisihkan dan ditinggalkan lebih jauh. Sekarang ini pun sudah jelas tanda-tanda melihat bangsa kita ketinggalan, dimana graduan Bumiputera pun susah nak dapat kerja akibat sekatan dan diskriminasi bahasa Mandarin yang dijadikan syarat utama untuk kerja sedangkan kita sendiri sebenarnya memberikan mereka peluang untuk bertapak hidup dan mencari rezeki di bumi Malaysia ini. Malah lebih menyedihkan bangunan tertinggi di dunia, KLCC pun dikuasai dan dimonopoli oleh bangsa dan warga asing sehingga usahawan bumiputera terpaksa gulung tikar. Merdekakah kita sebenarnya?

Adakah satu hari nanti, bangsa Melayu terpaksa hidup merempat dibumi sendiri dan mungkin hanya digelar minoriti atau 'The Resistance' seperti dalam citer Terminator? Cuma bezanya bangsa Melayu terpaksa berjuang untuk mempertahankan haknya dan bukannya bersaing dengan robot. Ayuh, seluruh umat Islam dan bangsaku, sedarlah dari lamunan dan jauhilah daripada permainan sandiwara hebat sekarang. Siapakah diantara kita yang sanggup berjuang seperti "John Connor" untuk mempertahankan hak dan perjuangkan bangsanya daripada terus dijajah?

Walauapapun slogan, konsep atau manisfesto yang dibawa oleh pemimpin, semuanya indah belaka. Apa pun, yang diperhatikan dan diharapkan oleh rakyat Malaysia sekarang adalah pelaksanaan kata-kata. Pemimpin yang lalu telah gagal, apakah pemimpin hari ini mampu keluar dari sindrom janji kosong? Tiada lagi budaya NATO (No Action Talk Only)......

Sekadar renungan bersama melalui mesej teladan daripada sedutan babak filem-filem P.Ramlee. (adakah secara kebetulan atau memang punyai makna tersirat?):



UMNO = sarkas ?




Adakah Melayu terus dibebani hutang Ah Long sehingga sanggup gadaikan nyawa dan harta sendiri?




Adakah Melayu sedia diperbodohkan lagi seperti main judi dalm babak ini?




Cuba renungkan pada babak minit ke 6:20.

"jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen, jual belacan takde lesen, saya smuggle dari malaya."

Sekarang nie pun lebih kurang sama, jual arak ada lesen, jual nombor ekor,ada lesen, jual gula takde lesen, sebab tue senang seludup pi siam.... hahaha




Penyakit Melayu, datang kerja lambat. Tapi minit ke-4, sandiwara dunia. Pilih satu antara dua, kalau nak baik hati, jujur dan tak mahu cakap banyak sangat kena pijak kepala, atau kita terpaksa menipu, curi hak orang lain dipandang tinggi?




Perlukah kita menunggu tubuhkan kerajaan bawah pokok seperti kerajaan pasir dua butir ini sama seperti di PERAK!!!!

1

Bina Masjid : Kerana Keperluan Ibadah atau Bermegah Nama?

Posted by PonMan on 6:48 AM

Bulan Ramadhan telah menjelma lagi. Kali ini penduduk di Putrajaya dapat merasai menunaikan ibadah Terawikh di Masjid Besi yang baru saja siap di bina yang terletak di Presint 3, tak jauh dari kawasan tapak bazaar Ramadhan.

Dari segi sudut dan nilai senirekanya, memang diakui ia berkonsepkan seni bina moden kontemporari dengan didokong oleh 6000 tan keluli dan material telus cahaya dimana kos pembinaannya sekitar RM180 juta itu dapat menampung 20,000 jemaah pada satu-satu masa ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pengunjung di Putrajaya.


Namun begitu, apakah sebenarnya tujuan asal pembinaan masjid ini? Adakah kerana keperluan ibadah dan kemudahan para penduduk setempat, atau sekadar bahan pameran untuk bermegah? Kalau ianya kerana keperluan ibadah dan kemudahan para penduduk setempat terutama di sekitar Putrajaya, Masjid Putra yang telah lama dibina hanya terletak berhampiran (menggunakan satu jalan utama tak sampai 10 minit) dengan Masjid Besi ini boleh dijadikan tempat ibadah.

Bukanlah untuk menafikan tindakan membina masjid ini adalah salah, tapi pada hemat saya, masjid ini sepatutnya dibina di kawasan yang lebih memerlukannya. Sebagai contoh, bagi mereka yang tinggal di sekitar Cyberjaya, mereka terpaksa bersesak menunaikan ibadah sehingga terpaksa berpanas atau menahan air hujan yang membasahi bumi di luar kawasan masjid di MMU dan juga yang terbaru di kawasan Bomba Cyberjaya. Begitu juga dengan kawasan Equine Park, Seri Kembangan. Setiap kali tiba waktu solat terutamanya solat jemaah Jumaat, penghuni terpaksa menghimpit antara satu sama lain menyebabkan kurang keselesaan atau Khusyuk di kalangan jemaah. Mengapa tak dibina saja masjid yang tersergam indah ini di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk dan jemaah lebih ramai yang hanya bergantung kepada surau-surau atau masjid-masjid kecil yang baru dinaikkan taraf?

Satu lagi situasi dimana selalunya, pihak majlis bandaran atau wakil penduduk kawasan setempat telah mempunyai tapak khas untuk pembinaan masjid, namun daripada tanah lapang hinggalah bertukar menjadi semak hutan, masih tiada tanda-tanda masjid akan didirikan sebaliknya yang tinggal adalah papan tanda semata-mata. Mengapa perkara ini berlaku? Kerajaan tiada dana atau peruntukankah untuk membina masjid di kawasan keperluan rakyat? Mengapa perlu membazir bina 2-3 masjid di satu tempat?

Begitu juga masjid Kristal di Taman Tamadun Islam ala Disneyland di Terengganu. Kalau dilihat melalui pandangan luar dan dari jauh, memang masjid ini nampak menarik dan indah sekali tapi adakah ia satu keperluan ibadah atau hanya bermegah semata-mata?

Dari luarannya memang nampak besar, tapi yang peliknya bila masuk dalam ruang masjid, alangkah kecil dan sempitnya ruang di dalamnya (rasanya hanya berapa kerat jemaah saja kot). Buat masjid mahal-mahal setakat cantik dari luaran tapi tak dapat 'fully-utilised' atau menggunakan sepenuhnya konsep dan tujuan asal pembinaan masjid tersebut. Lokasinya pula yang terletak agak jauh dari kawasan darat dan di penghujung jalan serta laluan ke ruang ambil wuduk juga agak jauh dimana terpaksa menggunakan jalan utama dimana bertembungnya jemaah lelaki dan perempuan juga adalah sesuatu yang tak rasional.

Jelaslah, hakikatnya pada hari ini bina masjid hanya untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah pada nama dan bukannya kepentingan atau keperluan ibadah yang memudahkan rakyat atau jemaah semata-mata dengan pembaziran duit yang cukup besar. Mungkin kerana kurang penghayatan sebenar pembinaan masjid ini telah menimbulkan satu petanda buruk seperti gambaran yang terhasil seperti dibawah ini diambil oleh salah seorang pengunjung menggunakan kamera videonya. Adakah ini satu petanda kemurkaan Allah swt terhadap pembinaan masjid yang menghabiskan duit rakyat jutaan ringgit namun tidak boleh ditunaikan solat Jumaat? Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui.


Dialog babak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, karya Allahyarham P.Ramlee:

"Orang beli rumah baru, dia mahu rumah baru, orang beli radio baru, dia mahu radio baru, orang beli baju baru, dia mahu baju baru! Itu pasal ana suruh kamu kidnap sama ana la...."

1 Malaysia : " Duit Rakyat didahulukan (deposit / wang pendahuluan), pencapaian diutamakan "

2

Keputusan Terkini Liga Pilihanraya Malaysia (LPM)

Posted by PonMan on 7:38 AM

25 Ogos 2009, Permatang Pasir - Hari ini adalah merupakan perlawanan pusingan ke-8 dalam kempen Liga Pilihanraya Malaysia dimana telah menyaksikan pasukan Pakatan Rakyat yang diwakili oleh Pas meneruskan rentak kemenangan apabila memenangi kawasan Dun Permatang Pasir dengan majoriti 4,551 undi . Dengan kemenangan ini, pasukan Pakatan Rakyat telah berjaya menjarakkan jumlah agregat kemenangan mereka kepada 7-1.

Secara tidak langsung kemenangan pasukan Pakatan Rakyat ini juga sudah memberikan gambaran yang amat jelas sekali betapa para penyokong dan peminat setia mereka masih memberikan 100% kepercayaan kepada pasukan kesayangan mereka walaupun pasukan mereka sentiasa dianaktirikan dan lebih gemar dengan status 'underdog' oleh pihak media. Bagi pasukan Barisan Nasional pula kekalahan ini amat memberikan kesan negatif kepada mereka kerana gagal merencanakan strategi yang berkesan sehingga membawa kepada kekalahan ke-7 berturut-turut. Menurut sumber yang boleh dipercayai, kekalahan pasukan mereka yang mendapat status 'elit' ini adalah sesuatu yang tak dirancang kerana pelbagai strategi telah dilakukan terutamanya mendapatkan perhatian melalui liputan meluas media massa yang sememangnya para penyokong sudah lali dengan kenyataan yang terlalu 'over-confident'.

Bagi sesetengah para pemerhati pula menyifatkan kempen Liga Pilihanraya Malaysia musim ini agak hilang seri kerana skrip dan sandiwaranya adalah hampir serupa setiap kali perlawanan pilihanraya diadakan dimana menyaksikan pasukan 'elit' yang sering mendapat tempat dihati media massa gagal memikat hati para penyokong walaupun pelbagai cara, strategi dan kaedah digunakan untuk menarik undi gol. Sebaliknya pasukan 'underdog' pula sebenarnya mengambil peluang ini dengan menggunakan pendekatan yang berbeza yang lebih dekat dihati para penyokong tanpa perlu menunjuk-nunjuk di hadapan media massa.

Oleh yang demikian, penulis merasakan skrip sandiwara liga pilihanraya ini akan berterusan sehinggalah ada usaha atau kerjasama wakil SPR atau FAM merasakan perlu merombak semula kabinet atau liga pilihanraya itu sendiri supaya saingan liga tersebut lebih kompetitif dan menarik minat para penyokong untuk datang ke stadium mengundi. Apa-apapun penulis percaya para penyokong sekarang telah celik dan bijak memilih serta menilai yang manakah fakta atau auta. - BERITA HAIRAN



1

Ghajini = Memento?

Posted by PonMan on 7:50 PM

Bila aku tengok jer poster filem Ghajini kat atas nie, dah nampak sedikit persamaan jalan citer dengan filem Memento, hasil karya Christoper Nolan pada tahun 2000. Ghajini, filem lakonan Aamir Khan ini mengisahkan kehidupan seorang usahawan, Sanjay Singhania menghadapi masalah implikasi 'Short-Term Memory Lost' atau masalah bina memori jangka pendek (hanya mampu bertahan mengingati selama 15 minit) akibat kesan hentakan penjahat di zaman silamnya. Dan disebabkan kesan hentakan itu, hidupnya banyak bergantung kepada gambar-gambar dan nota-nota serta tatu di badannya dalam misi untuk mencari siapakah Ghajini!


Keseluruhan idea dan konsep cerita ini adalah sama seperti filem Memento lakonan Guy Pearce, juga mengalami masalah 'short term memory lost' cuma bezanya Ghajini adalah versi Bollywood yang tak lepas daripada unsur-unsur wajib ada dalam filem Bollywood seperti nyanyian dan sebagainya. Tetapi keunikan citer Memento masih lagi terserlah kerana ia diceritakan secara 'backwards' dimana anda boleh lihat 'ending' pada 'intro'nya dan 'intro'nya pula hanya akan diketahui apabila hampir ke 'ending'nya. Walaupun Memento masih unik, namun aku yakin bukanlah mudah untuk semua orang memahami jalan citer Memento yang telah diubahsuai sedemikian rupa dan mengambil masa untuk memahaminya, tapi secara tak langsung naratif non-linear seperti ini sedikit sebanyak mempengaruhi minda penonton untuk berada di tempat watak utama itu sendiri dan anda sendiri akan alami penyakit 'short-term memory lost' ini.

0

Pemimpin perlu bijak ramal masa depan: Dr Mahathir

Posted by PonMan on 6:54 AM
Petikan daripada akhbar Berita Harian:

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, seseorang itu perlu mempunyai strategi, berpengetahuan dan mampu meramal masa depan.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang baik juga perlu bersedia berbuat baik dengan semua pihak walaupun terhadap "musuhnya"

"Dengar semua pandangan biar pun orang yang memberi pandangan itu tidak baik dengan kamu atau kamu tidak sukakan orang itu.

"Yang penting, jangan dengar mereka yang hanya pandai berkata ''ya'', katanya dalam ceramahnya yang bertajuk ''Kepimpinan Strategik Untuk Masa Depan'' di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya sudah tentu seseorang pemimpin perlu berpengetahuan dalam dunia ini tetapi semua pihak perlu mengakui bahawa tiada manusia yang sempurna dan mengetahui segalanya.

"Jadi, sebijak mana seseorang pemimpin itu, mereka perlu mendapat nasihat daripada orang lain," katanya.

Dr Mahathir berkata adalah perlu bagi seseorang pemimpin itu meramal masa depan dan mengkajinya kerana dengan ramalan yang baik ia akan membantu mereka merangka strategi yang berkesan.

"Tidak sukar untuk meramal masa depan dan ia perlukan sedikit keajaiban untuk melakukannya," katanya. - Bernama


0

Malaysiaku Penuh Sandiwara....

Posted by PonMan on 7:16 PM
Sepanjang penghayatan dan pemerhatian saya Malaysia telah kecapi pelbagai kemajuan dan perubahan mengikut arus kemodenan. Perubahan dapat dilihat dengan begitu ketara menerusi banyaknya bangunan tinggi pencakar langit tersergam indah menghiasi kota metropolitan ini. Namun begitu dikala kita mengejar arus kemodenan ini, masih ada lagi satu tabiat atau 'habit' sesetengah di antara kita begitu pandai dan berbakat dalam bidang sandiwara.

Dikala negara kita sudah menjadi sasaran utama serangan penyakit H1N1, masih ada pihak yang seolah-olah berpura-pura macam tiada apa yang kritikal dan menyarankan orang ramai supaya tidak panik dengan situasi semasa kononnya keadaan masih terkawal, dan kini angka kematian akibat kesan H1N1 ini sudah mencecah lebih 50 orang, adakah rakyat masih perlu rasa tak panik? Adakah kita perlu tunggu jumlah kematian meningkat melebihi 100 orang atau tunggu saja virus itu menjangkiti para menteri baru kita nak klasifikasikan sebagai bahaya? Jadi apakah usaha pihak Kementerian Kesihatan mengekang wabak ini. Sepatutnya, dari awal lagi kita perlu ambil langkah pencegahan yang drastik. Apabila ada saja kes pertama H1N1 di Malaysia, kita dah perlu lebih peka dan alert tentang musibah yang bakal melanda. Sepatutnya kita perlu mengawal pintu masuk utama ke negara ini dan sekiranya ada diantara rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, maka lebih baik batalkan hasrat tersebut buat sementara. Malangnya, sekuriti dan kawalan kesihatan yang longgar di lapangan terbang boleh dijadikan antara lubuk terbaik untuk penyebaran wabak ini.

Gambar 1: 'Perhimpunan secara aman' laungkan Anwar sebagai pengkhianat.


Gambar 2 : 'Demostrasi jalanan' anti ISA

Begitu juga dengan dunia politik semasa tanah air, kadang kala menyebabkan rakyat dah naik muak dengan sandiwara dan berita di media. Kalau pihak pembangkang nak buat perhimpunan, maka ianya lebih dikenali sebagai demostrasi jalanan haram, tapi sekiranya wakil pihak kerajaan nak buat perhimpunan, ianya patut dikenali sebagai perhimpunan secara aman malah diberi pula permit oleh pihak polis. Bukan hendak menyokong mana-mana pihak, tapi apa yang diketengahkan disini, tak kira sama ada ianya dikenali sebagai demostrasi atau perhimpunan secara aman, ia tetap tak berikan apa-apa faedah, sebaliknya hanya membawa kepada masalah kesesakan lalu lintas dan juga kerugian peniaga-peniaga kecil yang teraniaya di sekitar kawasan yang terlibat. Jadi apa relevannya dan kenapa rakyat perlu demostrasi?


Mungkin demostrasi tak perlu diadakan sekiranya pihak kerajaan lebih peka kepada masalah rakyat dan apa yang rakyat tak berpuas hati, dan pihak media sepatutnya memainkan peranan sebagai pihak orang tengah yang menghubungkan rakyat dengan pemimpin tertinggi kerajaan, dan bukannya peranan media 'mengaburi' mata rakyat dengan berita-berita yang berat sebelah. Kerana rakyat Malaysia kini lebih bijak berfikir dan membuat keputusan, itulah yang terjadi pada setiap pilihanraya yang diadakan. Secara jujurnya saya dapati sebenarnya salah satu punca utama kekalahan pihak kerajaan adalah disebabkan media itu sendiri yang terlalu bersikap PRO. Maka ini mendatangkan kemusykilan kepada rakyat kenapa pihak media lebih fokus kepada sesebuah parti sahaja atau sebenarnya pihak kerajaan terlepas pandang seolah-olah terlalu yakin boleh menang di kawasan tersebut, sedangkan pihak pembangkang ada strategi yang tersendiri tanpa perlukan liputan media utama. Kenapa perkara ini boleh berlaku sedangkan media merupakan satu saluran yang kukuh untuk menarik undi yang lebih berkesan? Jadi hasilnya kita dapat lihat sendiri, kekalahan demi kekalahan dialami oleh mereka. Dan keunikan media di Malaysia ialah, apabila sebelum pilihanraya, berita-berita dijadikan tajuk utama, tapi sesudah pilihanraya, apabila parti yang mereka terlalu berikan fokus itu tewas, maka tiada lagi tajuk berita disiarkan seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa pilihanraya di kawasan tersebut. Inilah sandiwara yang dimainkan oleh media.



Berbalik kepada isu demostrasi, bagi saya ia hanya merupakan jalan terakhir yang terpaksa diambil oleh rakyat untuk suarakan kehendak dan aduan mereka. Bukan kita tak pernah mendengar dan tahu, setiap kali berurusan atau membuat aduan kepada mana-mana jabatan kerajaan, mesti ada saja alasan yang diberikan, seperti tak dapat respon dari jabatan tersebut, atau aduan mungkin tak sampai kepada pihak atasan seperti pegawai untuk ambil tindakan, atau pihak jabatan itu sendiri juga asyik dan kerap kali menangguhkan dalam membuat keputusan muktamad sesuatu perkara atau isu berbangkit dan macam-macam lagi karenah. Inilah sebenarnya yang menaikkan kemarahan rakyat setempat, jadi jalan penyelesaiannya adalah panggil media dan buat kain rentang atau poster dan berkumpul serta bersorak ramai-ramai untuk suarakan bantahan. Jadi seandainya pihak jabatan kerajaan yang terlibat lebih peka tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan mengambil tindakan susulan dengan serta-merta, saya percaya mungkin rakyat pun tak perlu lagi bersusah-payah memekik dan berkumpul dibawah sinaran matahari yang terik untuk menuntut hak mereka. Inilah satu lagi sandiwara.

Begitu juga tanggapan negatif terhadap blog-blog dalam internet ini yang sememangnya dijadikan bahan atau alat tohmahan yang kononnya dikatakan menghasut. Mungkin hanya segelintir diantara kita terutama bagi mereka yang kurang celik atau buta IT tak faham atau tahu apakah fungsi blog ini. Sebenarnya blog ini adalah medan bagi seseorang blogger untuk mengekspresikan dan meluahkan cerita-cerita atau masalah yang sebenarnya dihadapi. Tak dinafikan ada juga blog yang bersifat menghasut, tapi majoritinya adalah bersifat cetusan idea, dan pandangan peribadi seseorang blogger terhadap sesuatu isu yang berbangkit semata-mata. Jadi seandainya kita masih berpegang kepada amalan demokrasi atau kebebasan bersuara, jadi tak salah kalau kita laungkan sesuatu dalam blog kita. Ini adalah kerana dalam blog kita tak perlu risau atau ragui setiap perkara yang kita taip kerana ianya 100% tulen ditulis oleh blogger itu sendiri tanpa diedit. Pengalaman saya dalam menulis surat di ruangan forum atau rencana dalam akhbar-akhbar tempatan, walaupun hasil nukilan saya disiar dan diterbitkan, tapi ia tidak mendatangkan kepuasan kepada saya kerana ianya seringkali diedit dan adakalanya langsung tak disiarkan kerana risau apa yang saya ketengahkan itu menjejaskan imej dan reputasi akhbar terbabit (atau lesen akhbar ditarik balik). Jadi inilah sekatan-sekatan yang dihadapi di dunia sebenar untuk ketengahkan sesuatu perkara sedangkan sememangnya jelas dan lagi bersuluh kesahihan fakta yang cuba disampaikan. Jadi disebabkan sekatan-sekatan beginilah, terhasilnya blog-blog di dunia internet untuk suarakan pendapat mereka. Inilah satu lagi sandiwara.

Sandiwara di Malaysia terus merebak bukan saja dalam industri seni tanah air tapi juga merebak dalam industri sukan negara. Apa yang kita sering dengar sejak kebelakangan ini terlalu banyak masalah atau krisis dalaman antara persatuan-persatuan sukan yang sering kali berbalah dan menuding jari antara satu sama lain sehingga sukan-sukan tersebut terabai atau terpinggir akibat kelemahan pentadbiran dan pengurusan persatuan sukan terbabit. Bagi saya keadaan ini langsung tak mencerminkan tahap professionalisme dan hanya nampak lebih kurang seperti sandiwara dalam WWE semata-mata. Alangkah ruginya kita memiliki kompleks sukan paling canggih dan lengkap dengan semua kemudahan, tapi sukan kita masih jauh ketinggalan akibat sikap professionalisme atau mentaliti kelas ketiga pengurusan tersebut.


Paling ketara adalah peranan 'watak' utama yang dimainkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seringkali diselubungi dengan kontroversi dan krisis. Sekarang kita sendiri dapat lihat sejauhmana 'golongan cerdik pandai dan arif' tentang bola sepak ini telah berjaya mengharu-birukan kemeriahan bolasepak tanah air. Dengan hanya berkemampuan untuk merombak liga (dalam misi menyelamatkan pasukan Pahang daripada jatuh ke Liga Perdana), menyusun jadual yang lebih serabut, pemilihan jurulatih dan pemain hinggalah kepada pemilihan majlis tertinggi FAM, apa lagi yang dapat dibanggakan oleh FAM? Rata-rata penyokong sebenarnya dah muak dan lali dengan pengurusan FAM itu sendiri sehinggakan wujudnya pertubuhan yang diberi nama Black Parade gabungan kelab-kelab penyokong negeri menyuarakan bantahan dan kritikan, tapi adakah FAM sendiri ambil peduli tentang suara mereka? Adakah FAM pernah mendengar pandangan dan kritikan mereka dalam portal kelab penyokong negeri masing-masing? Saya rasakan mustahil benda ini dilakukan mereka, dan akibatnya setiap keputusan yang mereka lakukan sering datangkan kemarahan dan tidak puas hati. Lihat saja pemansuhan pemain import, liga kita tak meriah lagi sebaliknya ia langkah ke belakang kerana ia bukan kali pertama tindakan 'bodoh' seperti ini diambil, tapi nyata FAM masih belum belajar dari kesilapan. Inilah sandiwara yang terpaksa ditelan oleh peminat bolasepak tempatan.

Begitu juga dengan rakyat kita sendiri terpaksa bersandiwara untuk berurusan dengan kerajaan dan mendapat apa-apa kelulusan projek mahupun tender daripada jabatan-jabatan tertentu. Bak kata pepetah orang zaman sekarang, "Kalau ada 'kabel', semuanya boleh dilaksanakan". Mengapakah budaya 'kabel' ini semakin melarat di Malaysia, sedangkan kita dah ada prosedur yang ditetapkan? Pada pendapat saya, dengan budaya 'kabel' inilah sebenarnya secara tak langsung kita menggalakan rasuah. Rasionalnya adalah apabila kita menggunakan 'kabel', sudah tentu kita akan membayar atau memberi 'upah' sebagai penghargaan kepada 'fast-service' yang diberikan. Walaupun bukan semua diantara kita yang suka gunakan budaya 'kabel' ini, tapi disebabkan ingin terus hidup, cari makan dan survival perniagaan, mereka terpaksa mengikut trend atau arus sedemikian rupa daripada terus ketinggalan kepada pesaing-pesaing yang terdekat.

Inilah hakikat sandiwara di Malaysia!!!! Jangan biarkan Malaysiaku yang tercinta musnah akibat diselubungi dengan budaya sandiwara dan ketidaktelusan ini.

0

Tetsuo Kurata kembali dalam Kamen Rider Decade!

Posted by PonMan on 4:52 AM
Tetsuo Kurata berbaju putih.

Siapa sangka aktor tampan yang menjadi idola aku ketika masih kecil kini sudah berusia 40 tahun kembali muncul dalam siri Kamen Rider Decade. Insan yang bernama Tetsuo Kurata atau nama sebenarnya ialah Tetsuo Takayama lahir di Koto, Tokyo pada 11 September 1968 ini sebenarnya lebih dikenali sebagai Kotara Minami, watak hero dalam Kamen Rider Black dan Black RX sekitar tahun 1987 dan 1988. Lihat saja perubahan dan perbezaan gambar-gambar beliau semasa umur 19 tahun menjadi superhero Kamen Rider Black dulu dan sekarang.

Sedutan daripada siri Kamen Rider Decade


Tetsuo Kurata, 1987



0

Yasmin Ahmad : Karyawan Hebat Negara?

Posted by PonMan on 2:10 AM
Petikan daripada artikel "Fragmen: Benarkah filem Yasmin karya filem tanah air paling hebat?" dalam Berita Harian oleh Zainuri Misfar benar-benar membuka minda saya untuk luahkan dan berkongsi pengalaman dengan anda semua mengenai karya Yasmin Ahmad.

Pemergiannya yang kembali ke Rahmatullah pada 25 Julai 2009 (sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya yang ke-23) bolehlah dikatakan agak mengejutkan tetapi tak dinafikan impak karya hasil oleh beliau masih dirasai hingga kini.

Secara jujurnya, saya taklah begitu tahu sangat kisah hidup beliau dan saya juga masih tak berkesempatan untuk tonton semua filem yang pernah dihasilkan sepanjang hayatnya bukan kerana kurang meminati atau mencintai filem-filem tempatan, sebaliknya dengan ikhlas dan jujur untuk saya katakan disini, saya masih menantikan transformasi dan sesuatu kelainan dalam industri perfileman tanah air. Apa relevannya kenyataan saya ini, saya akan huraikan sebentar lagi.

Sedar atau tidak, adalah menjadi satu kelaziman atau lumrah hidup manusia kadangkala lupa untuk menghargai insan yang masih hidup, dan tak keterlaluan untuk saya katakan bahawa apabila seseorang insan itu telah pergi buat selama-lamanya, barulah ada suara-suara yang merinduinya dan barulah wujudnya pelbagai anugerah diberikan untuk menghargai karya yang dihasilkannya. Ambil saja contoh Michael Jackson, kisah hidupnya dipenuhi dengan jatuh bangun seseorang yang berkulit hitam. Tapi lihat saja bakat dan transformasi yang dilakukannya, memang benar-benar membawa impak yang kuat kepada industri hiburan dunia. Tetapi dalam masa yang sama, beliau turut bertarung sepanjang hayatnya pelbagai dugaan termasuklah masalah kulit dan kecacatan rupa, muflis dan kes dera anak. Kita lihat disini, siapakah yang benar-benar boleh dikatakan sebagai kawan dan saudara ketika beliau hadapi masalah semua ini? Setahu saya, tak ramai yang membantu malah ada yang tak ambil peduli mengenai masalah yang dihadapinya, inilah sebenarnya tekanan hidup dan musuh utama beliau untuk berjuang dalam hidup. Tetapi diakhir hayatnya, ramai pula mengaku anak dan saudaranya sama-sama berikan penghormatan terakhir. Namun konflik Michael Jackson ini tetap akan berpanjang selagi ada pula isu berbangkit seperti penjagaan harta dan anak-anaknya belum capai kata muktamad.

Berbalik kepada Yasmin Ahmad, mengapakah selepas pemergiannya barulah kita nak nobatkan beliau sebagai seorang karyawan paling hebat dalam negara? Begitu juga pandangan Zainuri Misfar dalam artikelnya melalui Berita Harian:

"Apa yang kita perhatikan ketika ini ialah stesen TV mengangkat Yasmin Ahmad seolah-olah sebagai karyawan filem yang cukup hebat, lebih hebat daripada penggiat filem sekarang dan terdahulu.

Dalam program Fenomena Seni di TV1 yang pada 2 Ogos lalu, dipaparkan soalan SMS yang bermaksud seolah-olah Yasmin Ahmad sebagai seorang karyawan yang tiada tandingannya.

Kita tidak dinafikan kebanyakan media sudah mengangkat filem-filem Yasmin Ahmad sebagai bertemakan perpaduan dan kasih sayang dengan cara persembahannya dianggap sebagai di luar lingkungan pemikiran biasa atau out of box. Ini menjadikan stesen TV melihat Yasmin sebagai karyawan filem paling hebat tanpa menghalusi hasil karyanya dan implikasinya terhadap peradaban budaya serta bangsa.

Hakikatnya, fakta ini mesti diperbetulkan. Ini kerana banyak filem lain yang turut memaparkan imej perpaduan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Konsep perpaduan, muhibah dan keharmonian kaum dalam filem bukanlah sesuatu yang baru. Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah melakukannya dalam filem Gerimis apabila seorang lelaki Melayu berkahwin dengan wanita berketurunan India, manakala dalam filem Sesudah Suboh pula mengisahkan kisah cinta antara pemuda Melayu dengan gadis Cina."

Pada hemat saya, ada benarnya hujah yang diketengahkan oleh Zainuri ini. Konsep keharmonian kaum, perpaduan seperti yang cuba diterapkan dalam konsep 1 Malaysia sekarang sebenarnya telah lama ditonjolkan. Sekiranya ada diantara kita masih ingat filem "Gila-Gila Remaja" lakonan Faizal Hussein juga ada elemen ini secara tak langsung melalui persahabatan lima orang sahabat, yang terdiri daripada Roy, 2 lagi rakan Melayu, seorang Cina dan seorang India. Inilah keunikan yang saya rasa agak terhakis dalam elemen-elemen filem kita, namun kredit saya berikan kepada filem animasi 3D pertama negara "Geng" yang berjaya mewujudkan kembali nilai perpaduan & keharmonian kaum ini seperti watak Rajoo dan Lim. Ia bukan saja membuka minda orang dewasa seperti saya, tapi juga berjaya menambat hati kanak-kanak yang menontonnya.

Namun saya percaya semua orang sedar dan tahu setiap unsur yang cuba diterapkan oleh Yasmin Ahmad dalam filemnya ada juga berikan isu dan perspektif yang berbeza dan sering kali dipersoalkan. Sebagai contoh dalam filem Talentime, banyak babak yang saya sendiri rasakan ianya tak mencerminkan sangat budaya Malaysia atau adat ketimuran dan mungkin agak lari dari kehidupan asal masyarakat Malaysia terutama Melayu yang kaya dipenuhi dengan pelbagai adab dan tatatertibnya.

Antara babak yang menarik perhatian saya ialah babak watak Pamela Chong yang berpakaian sekolah menengah didukung dan dipapah oleh Harith Iskandar, ayahnya. Mungkin apa yang cuba diketengahkan oleh Yasmin ingin mengambarkan betapa akrab dan mesranya hubungan anak dan ayah, tapi sepanjang hayat saya, saya belum pernah lihat lagi mana-mana anak yang sudah berusia belasan tahun yang pulang dari sekolah disambut sedemikian rupa. Malah menurut pendapat pensyarah saya sendiri tidak begitu suka babak tersebut kerana baginya ia tak mencerminkan budaya dalam kehidupan sebenar, tambah pula ujarnya apabila setiap anak gadis yang meningkat usia sudah tahu dan faham "gap" atau batas kemesraan antara keluarga. Setakat berpelukan pun ada kena pada masa dan keadaannya, dan bukannya asyik memeluk dan dipeluk sepanjang masa.

Begitu juga dengan babak Harith Iskandar ditindan oleh anak-anak perempuan dan isterinya sendiri walaupun ia boleh dianggap sebagai komedi tapi rasanya ia tak sesuai. Saya dan adik-adik lelaki pernah juga menindan badan ayah saya, tapi apabila dah matang dan meningkat usia, saya rasa sudah lama tinggalkan cara kemesraan seperti itu. Begitu juga dengan apa yang diketengahkan oleh Zainuri menerusi babak si bapa mengangkat kakinya di hadapan anak-anaknya ketika sedang menjamu makan tengah hari, pastinya boleh mengundang rasa kurang selesa, walaupun ia mungkin dilihat sebagai komedi. Ini kerana dalam mana-mana bangsa sekalipun, mengangkat kaki ketika makan memang dilihat sebagai kurang ajar. Ini belum lagi ditambah dengan dialog berbau lucah seperti babak seorang ibu yang komen penampilan anaknya yang tiada 'boobs' yang besar dan juga perkataan 'Dick' tak sesuai dan kena dengan adat ketimuran.

Andai kata Yasmin Ahmad masih hidup, saya harap karya-karyanya pada masa akan datang sepatutnya lebih peka dan 'alert' tentang isu-isu sensetif seperti ini. Alangkah ruginya sekiranya filem tersebut sudah terbaik dari segi jalan cerita, suntingan, kamera angle tapi dicemari dengan elemen-elemen yang kita terlepas pandang ini.

"Seperti yang kita katakan, Yasmin mempunyai niat yang amat murni dalam karyanya tetapi cara beliau mempersembahkan ideanya dalam bentuk visual, yakni filem, banyak perkara yang boleh dipersoalkan.


Memang karyanya diperakui oleh masyarakat antarabangsa kerana mereka tidak memahami citra bangsa dan nilai budaya negara ini. Makan menggunakan sudu dan garfu adalah budaya orang Barat. Namun, bayangkan apabila bersama mereka kita makan menggunakan tangan? Pastinya mereka akan menganggap kita tidak menghormati dan memahami budaya mereka. Itulah analoginya apabila orang luar melihat beberapa filem atau karya yang dari sini.


Bukan saja dalam filem, tetapi menerusi beberapa drama bersiri atau telefilem yang disiarkan oleh stesen TV, sudah mula memaparkan nilai dan budaya yang agak bertentangan. Kita juga sudah berasakan ada drama yang hendak mengangkat kebebasan mutlak, kehidupan berfoya-foya, mengutamakan kebendaan atau materialistik selain tidak memberikan sebarang pengajaran kepada penonton." - Zainuri Misfar


Apa yang saya "highlight"kan berwarna merah diatas adalah salah satu alasan utama saya sudah hilang selera untuk tonton filem tempatan. Malah jujur untuk saya katakan, saya takkan mungkin keluarkan duit poket untuk tonton filem tempatan di pawagam dan lebih rela tonton filem barat dan untuk filem tempatan, saya galakkan diri saya sendiri untuk menonton pada tayangan istimewa Hari Raya semata-mata di kaca TV. Bukan taknak menyokong industri filem tempatan, tapi saya rasa kita perlukan transformasi dan keluar dari kepompong stereotype asal filem-filem terdahulu. Start thinking out of the box.

Saya sendiri tak faham, kenapa filem-filem tempatan sering kali hanya "play safe" untuk ketengahkan genre dan jalan cerita yang hampir sama. Adakah kalau genre komedi atau cinta, adakah perlu ianya 100% berdasarkan komedi dan cinta semata-mata tanpa isu dan pengajaran yang nak kita ketengahkan? Kadangkala saya sendiri merasakan kecewa apabila kalau tengok trailer dan jalan cerita dah nampak gempak, tapi bila ada elemen lawak yang kadang-kala nampak macam menunjukkan kebodohan diri sendiri. Contohnya filem Antoo Fighter, saya amat tertarik kepada jalan cerita dan kesan khas (FX) yang digunakan, tapi ada antara pelakonnya pula nampak seperti 'fake' dan hanya 'spoil' dan merosakkan filem tersebut. Adakah kalau 'timba' atau 'baldi' diletakkan di atas kepala dan menutupi hampir keseluruhan muka Radhi OAG, boleh dianggap satu komedi?


Sebenarnya banyak benda yang kita perlu pelajari dan perbaiki lagi. Malah saya percaya dalam dunia ini saja kita bukan saja hanya tumpukan kepada aspek cinta dan komedi semata-mata, kerana bagi saya ianya hanyalah sebahagian dari kehidupan. Ada banyak lagi aspek kehidupan kita boleh ketengahkan, malah saya amat berharap sekiranya filem tempatan dijadikan platform terbaik untuk menarik minat dan membuka minda anak-anak muda kita untuk pelajari dan ambil iktibar sesuatu dari filem yang mereka tonton, bukan sekadar terlalu berfantasi bagaimana untuk bercinta, bergelak ketawa dan menjerit sesuka hati dalam tempoh 2 jam filem tersebut ditayangkan, dan apabila keluar saja dari pawagam masalah hidup di dunia ini masih tak selesai. Balik ke rumah saja dari pawagam dah bergaduh dan kena marah dengan keluarga, jadi hiburan dan keseronokan itu hanya bersifat sementara.

Sebagai contoh, sekiranya saya baru saja alami situasi putus cinta dan tekanan hidup akibat daripada masalah penggangguran dan tak dapat kerja akibat diskriminasi tertentu, sudah tentu saya perlukan ketenangan dan dalam masa yang sama saya masih perlu berikhtiar untuk mencari jalan untuk mengubah nasib dan teruskan survival hidup saya. Jadi sebagai salah satu cara untuk mencari ketenangan, jadi saya sanggup keluarkan RM10 (walaupun tersepit dalam masalah kewangan kerana menganggur) untuk tonton filem di pawagam. Jadi sekiranya filem yang saya tonton itu bukan saja beri ketenangan, malah secara tak langsung memberi pengajaran dan juga tips bagaimana untuk mengubah nasib dan berjaya dalam hidup, saya yakin, sebaik saja saya melangkah keluar dari pawagam, saya rasakan filem tersebut sebenarnya berikan motivasi dan 'refreshment' dalam diri untuk atasi setiap tekanan hidup yang saya hadapi sekarang. Jadi amatlah berbaloi untuk pelaburan RM10 bagi insan menganggur seperti saya sekiranya filem tersebut dapat berikan petunjuk dan motivasi serta ketenangan yang dicari.

Inilah elemen yang saya ingin cari dan harap dapat ketengahkan dalam filem tempatan. Kita boleh contohi semua hasil karya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, di mana semua filemnya walaupun ada bersifat komedi tapi mesej dan pengajarannya amat jelas dan kadang-kala akan membuatkan pononton turut serta berfikir adakah betul dan salah apa yang disampaikan oleh beliau. Sebagai contoh, filem Tiga Abdul, walaupun banyak babak-babak mencuit hati, tapi filem tersebut sebenarnya berjaya beri impak dan moral betapa pentingnya hubungan sesebuah keluarga, jangan hanya kejarkan harta dan pusaka semata-mata.

Begitu juga filem Click lakonan Adam Sandler dan Yes Man lakonan Jim Carey. Walaupun genre kedua-dua filem ini adalah komedi, namun mesej yang disampaikan amat jelas dan benar-benar berikan kesan yang mendalam kepada saya. Filem Click telah mengajar saya supaya kita menghargai setiap detik dan 'moment' dalam hidup serta bagaimana untuk bahagikan masa antara kerjaya dan famili, kerana hakikatnya apabila kita terlepas atau abaikan setiap detik dalam hidup kita, kita takkan dapat berundur atau 'rewind' kembali hidup kita kerana dalam dunia sebenar, tiada alat kawalan yang mampu kawal dan mengubah nasib hidup seseorang. Begitu juga dengan filem Yes Man, walaupun semua orang tahu Jim Carey adalah seorang yang pakar komedi, namun menerusi filem ini komedinya bukanlah bersifat keseronakan yang 'entah apa-apa' seperti kebanyakkan filem komedi lakonannya yang lain, tapi filem ini telah berjaya menjadikan komedinya itu berfungsi selari dengan mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan untuk seseorang cuba berfikiran positif dan toleransi setiap keputusan hidup yang dibuat.

Jadi saya harap, kita janganlah 'limit'kan industri filem kita hanya semata-mata untuk sajikan babak cinta dan ringan semata-mata. Gunakan setiap isu semasa yang ada disekeliling kita untuk pengaruhi golongan muda supaya lebihkan berfikir masa depan dan bukan sekadar berhibur keseronokan yang sementara. Sayang dan rugilah sekiranya kita tak gunakan bakat istimewa yang dimiliki seperti Saiful Apek, Nabil dan lain-lain sekiranya kita hanya mampu hasilkan komedi yang entah apa-apa seperti Sifu dan Tongga.

Bukannya saya nak katakan cinta dan komedi itu tak penting dalam kehidupan, kerana bagi saya cinta dan komedi itulah tak boleh lari daripada sebahagian dalam kehidupan, tapi andai kita terlalu taksub berfantasi dengan cinta dan gelak ketawa, seolah-olah kita tak lagi fikirkan masalah lain yang melanda dan terjadi sekeliling kita. Itulah yang terjadi kepada generasi muda sekarang. Kerana hanya pada cinta, kita lupa, abaikan, dan membelakangkan tanggungjawab kita kepada mak ayah, pelajaran, kerjaya dan sebagainya kerana bukanlah cinta itu yang akan membantu kita cari rezeki dan ubah nasib sesebuah bangsa dan negara. Terlalu taksubkan dengan aksi lumba dalam filem, jadi lebih ramai lagi kita sebenarnya galakkan mereka ceburi industri pemotoran haram tempatan dengan wujudnya jawatan mat rempit lebih ramai. Ketawa memang boleh hilangkan duka, tapi adakah kita ketawa sepanjang masa? Marilah sama-sama kita renungkan.

0

Stoking Busuk dalam Kasut......

Posted by PonMan on 9:13 AM

Respon dari Artikel Dari Kaki Dalam Kasut nukilan Tun Dr. M dalam blog Che Det :

Saya amat kagumi pandangan jauh Tun. Tapi itulah hakikat dunia, ada pro dan kontra, tatkala kita memperjuangkan nasib Melayu dan bangsa sendiri, bangsa lain pula anggap kita racist. Sama la seperti zaman kita dijajah dulu, bagi kita anggap tokoh-tokoh perjuang kemerdekaan adalah wira negara, tapi bagi British mereka adalah perusuh.

Mungkin benar kata Tun, Melayu Mudah Lupa. Kadangkala saya terfikir, sampai bila kita perlu jadi hamba dalam negara kita sendiri… Kita yang sebenarnya terlalu “bermurah hati” dan tolerant untuk jaga hati bangsa lain sampai bangsa sendiri terpinggir.

Pada hemat saya, bangsa-bangsa lain di Malaysia sepatutnya rasa bersyukur kerana sikap “keterbukaan” yang kita bagi. Mereka patut bersyukur kerana di Malaysia, mereka masih lagi boleh bertutur dalam bahasa ibunda mereka, masih ada lagi sekolah khas untuk kaum mereka… Di Malaysia ini sebenarnya kita tak adalah terlalu radikal seperti di Indonesia, dimana setiap bangsa yang ada hanya faham dan bertutur dalam satu bahasa saja iaitu bahasa Indonesia. Bayangkan, kawan saya seorang Chinese Indonesia beragama Kristian begitu fasih bahasa Indonesia, sehinggakan saya sendiri rasa pelik kerana cara pertuturannya langsung tak menggambarkan beliau seorang berbangsa cina… malah beliau sendiri akui tidak pernah faham atau belajar bahasa ibundanya sendiri. Jadi, adakah kita kejam dan radikal terhadap bangsa lain?

Soal hidup aman damai dan semangat perpaduan boleh diterapkan tapi saya yakin isu rasis tak dapat dielakkan. Apa lagi yang tak adil dan kena? Setiap bangsa di negara kita haruslah ada ‘give and take’. Tak semua kehendak boleh dipenuhi. Ambil isu penternakan babi di Kedah sebagai contoh, semua orang tahu penternakan babi di kawasan yang majoritinya Melayu memang tak berikan keselesaan kerana baunya, wabaknya dan macam-macam lagi. Adakah perlu kilang penternakan diteruskan hanya semata-mata nak jaga hati kaum minoriti dan majoritinya terpaksa menanggung derita dengan babi di situ? Tak ada babi, tak boleh hidupkah?

Kita semua tahu dan sedar, majoriti ekonomi negara dikuasai oleh bangsa bukan Melayu, dan memang mereka sendiri ‘otak bisnes’, jadi kalau tak boleh jual babi, jual saja benda lain…. sekurang-kurangnya kerajaan masih benarkan buka kedai arak, kilang arak, kedai nombor ekor, casino, pub dan sebagainya yang sememangnya dilarang dalam Islam, tapi atas nama ‘perpaduan’ dan ‘berbilang kaum’ kita masih lagi bersikap tolerant asalkan bangsa lain turut merasai nikmat hidup di bumi bertuah ini.

Malah lebih mendukacitakan lagi, apabila mereka soalkan adil dan sama rata, mereka juga terlupa, adakah mereka berlaku adil kepada kita yang pemurah ini? Nak minta kerja sekarang pun, graduan Melayu dianaktirikan disebabkan polisi bahasa Mandarin sebagai syarat kerja. Adakah kita minta kerja di negara China? Hong Kong? sampai Mandarin pun jadi syarat kelayakan kerja? Lot-lot kedai mewah di kompleks beli belah pun rata-rata dikuasai bukan Melayu, dan paling mengecewakan sekali bagi saya, sampaikan saya nak lihat dan survey beli rumah mewah pun tak dilayan disebabkan hanya saya bangsa Melayu dan bercakap Melayu? Adakah Melayu ini miskin sangat sampai dilayan sedemikian rupa? Dimanakah kuota status bumiputera?

Ini adalah sekadar pandangan dan luahan hati berdasarkan pengalaman saya, bukan untuk mengungkit dan menyentuh sensetivity mana-mana kaum, cuma niat dihati mahukan semua bangsa tak kira Melayu, Cina, India faham tentang peranan dan hak masing-masing… Kita dah lama berdiam dan tidak bersuara secara lantang dan terbuka kerana berpegang prinsip perpaduan, tapi kalau ada yang tak puas hati juga, memang tak reti dan tahu bersyukurlah namanya.


0

PAPADOM : Belum Tayang Tapi Dah Menang Banyak Anugerah?

Posted by PonMan on 7:35 PM

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki ini telah banyak memenangi anugerah pada malam Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) baru-baru ini yang terdiri menerusi kategori Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Cerita Asal Terbaik. Tahniah diucapkan kepada mereka.

Namun, apa yang membuatkan aku rasa bingung disini, filem Afdlin Shauki ini sebenarnya hanya bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 OKTOBER 2009, jadi bagaimanapula kita boleh iktiraf setiap filem yang belum lagi ditayangkan kepada umum boleh dinobatkan sebagai Filem Terbaik? Pada pandangan aku, ini adalah sesuatu yang jarang sekali berlaku termasuklah di Festival Film Antarabangsa sendiri.

Bukanlah untuk mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan Afdlin Shauki sebagai seorang pelakon dan pengarah filem, tapi aku rasakan adalah lebih wajar sekiranya filem PAPADOM ini ditayangkan kepada umum terlebih dahulu, baru kita calonkan dalam mana-mana anugerah festival filem. Kerana pada pandangan aku, kejayaan sesebuah filem bukan saja bergantung kepada cerita asal, dan pelakonnya semata-mata, tetapi juga melalui jumlah kutipan tiket dan pandangan orang ramai tentang filem yang mereka tonton. Jadi sekiranya para penonton suka dengan sesebuah karya filem itu, maka secara langsungnya kutipan tiket turut meningkat, dan mungkin ada yang tonton lebih dari sekali.

Jadi kemenangan PAPADOM dalam FFM 22 kali ini sebenarnya lebih banyak ke arah membantu mempromosikan filem ini sehingga ia ditayangkan. Secara tidak langsung, ia akan mempengaruhi para penonton, untuk menonton sendiri filem yang telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik ini. Ini satu taktik 'marketing' yang terbaik. Namun, aku tetap menunggu 8 Oktober ini untuk menilai sendiri sejauhmana elemen "What So Special About This Film?" berjaya menambat hati aku dan setimpal dengan anugerah yang mereka terima.


Cuma harapan aku disini ialah Festival Filem Malaysia yang akan datang sepatutnya lebih mengutamakan filem-filem yang dah ditayangkan, kerana melalui anugerah FFM ini lah akan menjadi platform terbaik untuk para karyawan menilai sejauhmana kualiti karya hasil mereka dan juga sebagai hadiah kepada hasil usaha mereka apabila filem mereka dinobatkan sebagai pemenang. Adalah pelik sekiranya filem yang belum lagi ditayangkan sudah memenangi pelbagai anugerah dan menewaskan filem-filem yang sudah ditayangkan dan mencatat kutipan tiket yang tinggi.

Namun aku tak nafikan sebenarnya citarasa dunia hiburan sekarang agak pelik, filem yang bosan, meleret panjang dan plot ringan pun boleh menang anugerah. Kadang-kadang kita tengok filem itu sendiri pun tak best tapi terkejut masih boleh jadi pemenang. Apakah sebenarnya kriteria yang membawa kejayaan sesebuah filem? Adakah panel juri benar-benar bijak dalam menilai hasil karya filem kita?

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat sejauhmana impak filem PAPADOM ini kepada para penonton dan juga kepada industri filem negara kita sendiri. All the best to Afdlin Shauki ! Since this film already announced as the best film, I will expect more and better than another film!

0

Misi Hidup 23 Tahun.....

Posted by PonMan on 4:14 AM
26 Julai 2009 - merupakan tarikh keramat yang bermakna dalam hidupku, dimana aku merasai nikmat hidup di dunia ciptaan Allah swt selama 23 tahun. Alhamdulillah dan bersyukur kepadaNya kerana aku masih lagi bernafas hingga ke saat ini....

Bayangkan dari satu tahun ke satu tahun, bagaikan jarak dari hari ke hari.... tanpa disedari aku sudahpun 23 tahun.... tapi itu semua kerja Tuhan, kita sebagai hambaNya patut berasa bersyukur dan menghargai setiap detik dan peluang yang diberi di dunia ini....

Seperti insan lain juga, aku yakin banyak kenangan manis, pahit, dugaan dan cabaran hidup dilalui dari satu tahun ke satu tahun. Jadi aku jadikan coretan kali ini sebagai 'check-point' untuk diri aku untuk muhasabah diri dan menganalis diriku sendiri, sejauhmanakah pencapaian dan perubahan hidup dalam diriku ini dari usia 22 ke 23 tahun.

Pada kebiasaanya, setiap kali apabila seseorang insan menyambut ulang tahun kelahirannya, akan diberikan hadiah istimewa, dan sering ditanya apa azam dan 'wish' anda? Tetapi jarang sesekali kita mendengar atau mengimbas kembali setiap detik dan kenangan yang kita dah tempuhi dan misi hidup yang kita dah capai ketika kita menyambut ulangtahun kelahiran.

Inilah yang cuba aku ketengahkan dan kongsi dengan anda semua. Sepanjang tempoh 26 Julai 2008 - 26 Julai 2009, pelbagai perkara yang aku lalui, sehingga aku rasa mustahil nak diceritakan semua dalam satu coretan ini. Namun apa yang menariknya, aku amat bersyukur kerana pada tarikh 26 Julai 2009, aku telah berjaya menyelesaikan misi utama aku untuk menghasilkan sebuah filem pendek untuk projek semester akhir Degree di Limkokwing University. Inilah cubaan kali pertama aku bergelar sebagai pengarah (Director).



Ternyata begitu mencabar sekali peranan sebagai seorang pengarah. Aku akui aku tempuhi pelbagai kesukaran sepanjang tempoh untuk proses penggambaran dilakukan, namun aku jadikan ia sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupku. Mana tidakknya, sejak dari mula lagi, aku dapat merasakan cabaran dalam pembikinan sesebuah filem bajet ciput nie... dari proses mencari pelakon, krew, equipment dan berurusan dengan orang lain dan jabatan hingga ke saat shooting itu sendiri... Kadangkala aku dah merasakan misi ini berat untuk ku lakukan kerana aku hanya sempat membuat persiapan tak sampai sebulan, tapi aku cekalkan hati. Terus terang aku nyatakan disini, aku tak dapat tidur nyenyak kerana memikirkan pasal projek ini. Namun hasil usaha ini turut dimudahkan dengan kerjasama kawan-kawan, dorongan ibubapa dan saudara-mara. Inilah sebenarnya meniup semangat aku untuk teruskan projek mega aku kali ini.

Setibanya hari yang dinantikan, proses penggambaran, hari pertama 24 Julai (Jumaat), adalah hari yang bersejarah dalam hidup aku kerana inilah kali pertama aku memainkan peranan sebagai pengarah, tapi diluar jangkaan aku, dugaan ini amatlah paling besar dan getir yang aku lalui sepanjang hidup aku - demam panas yang agak luar biasa ditambah pulak shooting di bawah panahan cahaya terik di kawasan bendang belakang kampung aku. Keadaan kesihatan aku bertambah kritikal apabila tiba di waktu malam. Aku seolah-olah tak berdaya lagi nak teruskan projek ini, tapi bila difikirkan, ibubapa aku telah menghabiskan wang yang banyak untuk membayar kos-kos pembelanjaan menyewa equipment, krew dan kos-kos lain.... jadi adalah tidak wajar untuk aku mengangkat bendera putih tanda mengalah. Jadi hanya berbekalkan kecekalan dan semangat, serta doa agar aku dapat tempuhi semua ini dengan hanya ikhtiarku menggapai ubat dan panadol sebagai penahan kesakitan aku ini. Alhamdulillah takdir dan nasib memihak kepadaku. Aku rasakan aku dah buat langkah yang sepatutnya.

Pada tarikh 26 Julai 2009, waktu tengahari maka tamatlah sudah misi aku untuk jalani proses shooting ini. Aku panjatkan rasa syukur kerana segala rintangan, cabaran dan dugaan telah berjaya aku tempuhi dengan kerjasama semua pihak termasuk krew-krew yang berpengalaman, para pelakon merangkap kawan-kawan serta ibubapa dan saudara mara dalam menjayakan projek filem pendek aku ini.

Walaupun mungkin hasilnya taklah sehebat seperti hasil karya professional, tapi apa yang paling penting dan utama bagi aku ketika ini, adalah kepuasan diri. Apabila kita beri 110% komitmen setiap perkara yang kita lakukan, kita patut rasa puas kerana kepuasan diri akan membantu psikologi minda kita untuk memenangkan fikiran dan juga motivasi.

Apa-apapun, perjalanan aku masih jauh, dan pembikinan projek filem aku ini hanya selesai 2 fasa (pre-production & production), aku masih ada lagi satu fasa yang aku perlu tempuhi iaitu post-production atau editing. Dan apabila selesainya ketiga-tiga fasa ini, maka barulah lengkap misi aku dan projek filem aku ini bersedia untuk ditayangkan.


Soal hasil atau final outcome untuk final project ini akan aku usahakan dalam tempoh terdekat agar ia bakal menambahkan lagi kepuasan tahap maksimum. Apa-apapun aku tak meletakkan harapan tinggi kerana inilah hasil karya aku yang pertama, banyak lagi benda aku harus pelajari dan dalami selok belok dalam menghasilkan filem yang berkualiti kelak. Apa yang penting sekarang, aku mula sedar tentang hikmah disebalik projek aku ini. Sepanjang tempoh shooting, aku dapat menyaksikan sendiri bagaimana persefahaman dan kerjasama itu penting dalam melakukan sesuatu perkara. Dan lebih manis, secara tak langsung melalui projek aku ini, aku telah berjaya wujud dan kembalikan seketika kemeriahan rumah arwah nenek aku yang sebelum ini agak sepi dan sunyi serta berjaya mengeratkan kembali ikatan persahabatan, persaudaraan dan kekeluargaan yang sebelum ini agak dingin akibat salah faham dan juga pemikiran yang berbeza. Namun semua itu bagaikan ditolak ketepi dan seperti tak pernah wujud langsung sepanjang tempoh tersebut. Aku rasa terharu dan amat berbangga sekali apabila setiap insan yang bernama saudara mara turut mahu memberikan sumbangan dan sokongan dalam menjayakan projek aku ini.

Projek ini bukan saja mengeratkan hubungan, malah turut membuka ruang dan peluang dalam menjalinkan hubungan baru. Bayangkan setiap krew yang direkrut sebelum ini tak pernah kenali antara satu sama lain, tetapi melalui projek aku ini, mereka bekerjasama buat kali pertama dan sikap professional mereka menggambarkan seolah-olah mereka telah lama kenal antara satu sama lain. Bukan setakat krew saja, malah begitu juga hubungan antara pelakon dan semua individu yang terlibat, begitu mesra sekali. Lihatlah betapa indahnya dan uniknya dunia ini. Jadi firasat aku mengatakan, biarlah apa jua kritikan yang ku terima pabila hasil karya projek aku nie siap nanti, namun aku tetap berpuas hati dan merasa bangga kerana dapat jadi penghubung ikatan ukhwah sesama insan.

Melalui projek juga, aku mula dan juga lebih kenali setiap kawan-kawan aku yang menjayakan projek ini. Terima kasih kepada Wan Tough dan Pak Jo kerana sudi membantu dan menerima jadi pelakon utama, aku sememangnya tahu korang semua ada bakat dan aku amat berbesar hati ada sahabat seperti korang walaupun kita dah kenal dari sekolah yang sama dan bilik asrama yang sama, namun aku rasa melalui projek ini kita lebih akrab lagi. Kepada Aiyub pula, jutaan trima kasih kerana sudi turut terlibat dalam memberikan sumbangan berbentuk idea dan tenaga dalam projek ini. Dan sememangnya aku buat projek ini sebagai dedicate kepada arwah Imran, adik Aiyub dan juga kawan baik aku masa di asrama dulu. Sekarang aku dah tunaikan niat aku. Buat Ifa, walaupun kita tak adalah kenal rapat sangat, tapi abang Saiful amat hargai sumbangan dan kerjasama Ifa sepanjang tempoh shooting ini. Semoga melalui projek ini dapat dijadikan titik permulaan perjalanan karier Ifa sebagai pelakon dan juga kawan kepada abang Saiful.

Kejayaan aku menyiapkan projek ini disusuli dengan jamuan makan istimewa dengan sambutan kek harijadi aku, walaupun serba ringkas tapi detik itu tetap bermakna buat aku. Dan projek aku ini juga diakhiri dengan sambutan kenduri kesyukuran dan arwah yang diadakan di rumah aku di Sungai Petani, 31 Julai 2009 yang lalu. Aku amat terharu apabila aku dapat kongsi kepuasan aku dengan dihadiri oleh jemputan khas warga anak yatim dari Rumah Kebajikan Al-Wadi, Baling, Kedah. Sesungguhnya bila aku melihat raut wajah mereka yang khusyuk menjamu selera hidangan yang diberi, menambat hati aku serta memberikan pedoman kepadaku dengan harapan agar aku dapat meraikan kejayaan aku lagi bersama mereka di masa hadapan sepanjang perjalanan karier aku ke arah misi menjadi seorang pengarah terkenal. Kerana itulah yang sepatutnya dan tanggungjawab kita sebagai insan yang berkemampuan untuk membantu mereka. Walaupun mungkin agak mustahil untuk membantu kesemua mereka, tapi bagi aku ia tetap memadai sekiranya kita meraikan dan berkongsi kejayaan dengan mereka, agar kita tidak lupa asal usul dan kesusahan yang kita lalui serta agar mereka mengetahui nasib mereka terbela dan masih ada insan yang sayang kepada mereka.

Buat MAMA dan AYAH, Saiful tak tau lagi macam mana nak balas budi dan pengorbanan MAMA dan AYAH kat Saiful selama hidup 23 tahun dimuka bumi ini. Walaupun kadang-kala ideologi dan pemikiran kita tak sama dan berbeza, tapi percayalah setiap apa yang MAMA dan AYAH lakukan, tetap Saiful hargai dan takkan lupa sampai mati. Dan Saiful berjanji, setiap titik peluh dan usaha anda kat Saiful, akan ku balas dengan kejayaan hidup di dunia dan akhirat serta berbaloi @ setimpal dengan wang yang MAMA dan AYAH biayai selama ini.

Pada aku, kalau kita mahukan sesuatu yang datangkan kepuasan dan keuntungan, ada risiko dan harganya. Jadi kita perlu berani mengambil risiko dan melabur dalam sesuatu perniagaan yang dirasakan mampu bawa keuntungan, dan juga perlu berani setiap tekanan dan cabaran sepanjang kita melabur, kerana hasilnya mungkin tak dapat dilihat dalam tempoh terdekat, tapi baik untuk jangka masa yang panjang asalkan berbaloi.

2

PPSMI masih relevan.....

Posted by PonMan on 9:10 PM
Saya amat bersetuju dengan pendapat Tun dalam isu PPSMI ini. Malah saya juga amat bersyukur kerana masih ada lagi insan seperti Tun yang berpandangan jauh dalam memajukan anak bangsa.

Disini saya ingin berkongsi pandangan dengan Tun dan juga yang lain tentang isu PPSMI ini. Ketika saya masih bersekolah yang baru dinaik taraf sebagai sekolah bestari di Jitra, masa itu PPSMI masih belum dilaksanakan lagi. Namun setelah saya tamat belajar di sekolah dan mula menyambung studi di Limkokwing University, sebuah universiti bertaraf global dan terdiri daripada pelajar-pelajar antarabangsa, saya terpaksa ambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Bukan kerana saya tak pernah belajar bahasa Inggeris sebelum ini di sekolah, cuma jarang sekali mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris ini sebagai bahasa pengantar.

Namun kini setelah lebih dari 3 tahun, alhamdulillah saya dapat lihat transformasi diri saya untuk lebih yakin bertutur dalam bahasa Inggeris, malah bukan sekadar itu saja, saya juga mendapat banyak kenalan rapat dari negara Arab, Afrika dan Eropah. Saya tak lagi kekok untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

Tapi apa yang saya ingin ketengahkan dan kongsi bersama Tun dan yang lain disini adalah, rakan saya dari Botswana menceritakan serba sedikit mengenai sistem dan dasar pendidikan sekolah di negaranya. Saya amat terkejut bagaimana beliau begitu fasih dalam bahasa Inggeris sedangkan keadaan taraf hidup mereka jauh lebih rendah dari negara kita? Jawapan yang diberikan adalah, beliau telah dididik untuk menguasai segala jenis ilmu dalam bahasa Inggeris sejak peringkat awal persekolahan lagi. Namun, ia tak bermakna apabila kita belajar menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris kita abaikan bahasa ibunda kita.

Benar kata Tun, kita perlu realistik dengan suasana pasaran kerja sekarang. Rata-rata syarikat swasta mahukan pekerja berkebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tetapi ada juga yang mahukan bahasa Mandarin.

Jadi saya lihat isu PPSMI ini sebenarnya adalah platform terbaik untuk para pelajar menguasai ilmu mengikut arus moden semasa. Sekiranya kita ingin maju, kita perlu berubah dan kejar kemajuan itu. Bukannya sekadar menjadi jaguh kampung dan hanya bersaing sesama sendiri. Kadang-kala saya terfikir, mengapa sesetengah kalangan rakyat kita hanya sekadar berbangga dan megah dengan apa yang kita kecapi (tertinggi, termoden, tercanggih) sedangkan kita tak pernah 'discover' atau 'explore' atau ambil peduli ada negara lain yang sebenarnya lebih maju dari kita? Golongan seperti ini sebenarnya hanyalah seperti katak bawah tempurung semata-mata.

Sebenarnya pada pendapat saya, para sasterawan negara sebenarnya taklah begitu memainkan peranan besar malah saya fikir mereka gagal berfungsi dengan baik, sekiranya kita betul-betul mahu daulatkan bahasa ibunda dalam semua bidang, kita sepatutnya memperkasakan sejak dari dulu lagi secara berterusan. Kenapa baru sekarang bila isu PPSMI ini timbul, baru nak cakap dan tegakkan kedaulatan bahasa ibunda?

Kalau benar nak daulatkan bahasa ibunda, sepatutnya pihak sasterawan memainkan peranan lebih proaktif dan peka terhadap isu-isu semasa, sebagai contoh, kenapa graduan bumiputera sekarang susah nak dapat kerja, lebih-lebih lagi ada sesetengah syarikat mengenakan syarat berbentuk diskriminasi seperti kuasai bahasa Mandarin? Adakah kita terpaksa merempat di negara sendiri hanya semata-mata kita tak pandai Mandarin sedangkan kita ada bahasa ibunda sendiri? Jadi tak ada gunanya lagi pepatah Melayu, "Dimana bumi dipijak, disitu langit dijunjung."

Bukan setakat itu saja, mereka juga harus berfikir, sejauhmanakah industri seni tanah air kita? Jarang sekali kita dengar filem-filem atau muzik kita melepasi pasaran antarabangsa, kalau ada pun hanyalah sekadar pasaran nusantara saja seperti Indonesia. Kita hanya boleh berbangga seni kita di dalam negara sendiri.

Kesimpulannya, kalau kita benar-benar nak daulatkan bahasa ibunda kita, contohilah Jepun. Inikan sekadar isu PPSMI saja pun, dah jadi isu kita pinggirkan bahasa sendiri. Kalau iye pun isu PPSMI dimansuhkan, anak-anak menteri, datuk-datuk, orang kaya masih hantar anak-anak mereka ke international school, bukannya bergaul dengan budak-budak sekolah biasa macam kita rakyat biasa ini.

Jadi sebenarnya, kita rakyat biasa inilah yang rugi dan menjadikan jurang pendidikan lebih jauh dengan orang lain. Nasib rakyat takkan berubah kalau ada mentaliti begini. Saya percaya setiap ibubapa mahukan anak mereka berjaya dan belajar ke tahap tertinggi sampai ke luar negara, tapi sedar atau tidak, nak belajar di luar negara pun perlukan bahasa Inggeris. Adakah berkualiti sistem pendidikan kita gunapakai sekarang? Jika ya, masa kan ada pelajar cemerlang SPM dapat sampai 20A pun boleh terkandas bila belajar di luar negara? Di mana taraf kita? Adakah kita lebih utamakan kuantiti A daripada kualiti A itu sendiri?

Untuk pengetahuan Tun dan yang lain, saya fikir ujian MUET (Malaysian University English Test) yang digunapakai untuk masuk IPT di negara kita pun bukanlah benar-benar kualiti, kerana kualitinya tak setaraf dengan "requirement" university luar negara yang lebih utamakan IELTS dan TOEFL. Jadi adalah lebih baik kita mansuhkan saja MUET dan selaraskan saja english requirement kita dengan university antarabangsa yang lain, barulah boleh 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'.

Jadi usaha dan pandangan Tun dalam mewujudkan PPSMI ini sebenarnya langkah awal atau kalau ikut ayat orang utara : "buah mula" ke arah me'level'kan semula anak bangsa agar berjaya ke peringkat lebih jauh dan global, bukan sekadar hanya bangga di negara sendiri semata-mata. Tapi sayangnya, kerajaan pilih untuk undur ke belakang. Satu kerugian amat besar untuk rakyat Malaysia lebih-lebih lagi penduduk di luar bandar untuk 'compete' dan 'survival' dengan arus moden. Jangan jadikan PPSMI inisebagai alasan menyekat kemaraan anak-anak luar bandar untuk berjaya. Saya percaya, kalau kita berusaha, rajin, dipupuk dengan betul atau mungkin ada diantara kita telah dilahirkan dengan kurniaan akal yang bijak, saya yakin anak petani, nelayan pun boleh berjaya dan tempuhi segala halangan kerana tiada yang mustahil dan kita seharusnya bukan sekadar keluar dari kepompong kemiskinan taraf hidup tapi juga taraf ilmu.

Copyright © 2009 PonMan Creative Mind All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.