Yasmin Ahmad : Karyawan Hebat Negara?
Pemergiannya yang kembali ke Rahmatullah pada 25 Julai 2009 (sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya yang ke-23) bolehlah dikatakan agak mengejutkan tetapi tak dinafikan impak karya hasil oleh beliau masih dirasai hingga kini.
Secara jujurnya, saya taklah begitu tahu sangat kisah hidup beliau dan saya juga masih tak berkesempatan untuk tonton semua filem yang pernah dihasilkan sepanjang hayatnya bukan kerana kurang meminati atau mencintai filem-filem tempatan, sebaliknya dengan ikhlas dan jujur untuk saya katakan disini, saya masih menantikan transformasi dan sesuatu kelainan dalam industri perfileman tanah air. Apa relevannya kenyataan saya ini, saya akan huraikan sebentar lagi.
Sedar atau tidak, adalah menjadi satu kelaziman atau lumrah hidup manusia kadangkala lupa untuk menghargai insan yang masih hidup, dan tak keterlaluan untuk saya katakan bahawa apabila seseorang insan itu telah pergi buat selama-lamanya, barulah ada suara-suara yang merinduinya dan barulah wujudnya pelbagai anugerah diberikan untuk menghargai karya yang dihasilkannya. Ambil saja contoh Michael Jackson, kisah hidupnya dipenuhi dengan jatuh bangun seseorang yang berkulit hitam. Tapi lihat saja bakat dan transformasi yang dilakukannya, memang benar-benar membawa impak yang kuat kepada industri hiburan dunia. Tetapi dalam masa yang sama, beliau turut bertarung sepanjang hayatnya pelbagai dugaan termasuklah masalah kulit dan kecacatan rupa, muflis dan kes dera anak. Kita lihat disini, siapakah yang benar-benar boleh dikatakan sebagai kawan dan saudara ketika beliau hadapi masalah semua ini? Setahu saya, tak ramai yang membantu malah ada yang tak ambil peduli mengenai masalah yang dihadapinya, inilah sebenarnya tekanan hidup dan musuh utama beliau untuk berjuang dalam hidup. Tetapi diakhir hayatnya, ramai pula mengaku anak dan saudaranya sama-sama berikan penghormatan terakhir. Namun konflik Michael Jackson ini tetap akan berpanjang selagi ada pula isu berbangkit seperti penjagaan harta dan anak-anaknya belum capai kata muktamad.
"Apa yang kita perhatikan ketika ini ialah stesen TV mengangkat Yasmin Ahmad seolah-olah sebagai karyawan filem yang cukup hebat, lebih hebat daripada penggiat filem sekarang dan terdahulu.
Dalam program Fenomena Seni di TV1 yang pada 2 Ogos lalu, dipaparkan soalan SMS yang bermaksud seolah-olah Yasmin Ahmad sebagai seorang karyawan yang tiada tandingannya.
Kita tidak dinafikan kebanyakan media sudah mengangkat filem-filem Yasmin Ahmad sebagai bertemakan perpaduan dan kasih sayang dengan cara persembahannya dianggap sebagai di luar lingkungan pemikiran biasa atau out of box. Ini menjadikan stesen TV melihat Yasmin sebagai karyawan filem paling hebat tanpa menghalusi hasil karyanya dan implikasinya terhadap peradaban budaya serta bangsa.
Hakikatnya, fakta ini mesti diperbetulkan. Ini kerana banyak filem lain yang turut memaparkan imej perpaduan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pada hemat saya, ada benarnya hujah yang diketengahkan oleh Zainuri ini. Konsep keharmonian kaum, perpaduan seperti yang cuba diterapkan dalam konsep 1 Malaysia sekarang sebenarnya telah lama ditonjolkan. Sekiranya ada diantara kita masih ingat filem "Gila-Gila Remaja" lakonan Faizal Hussein juga ada elemen ini secara tak langsung melalui persahabatan lima orang sahabat, yang terdiri daripada Roy, 2 lagi rakan Melayu, seorang Cina dan seorang India. Inilah keunikan yang saya rasa agak terhakis dalam elemen-elemen filem kita, namun kredit saya berikan kepada filem animasi 3D pertama negara "Geng" yang berjaya mewujudkan kembali nilai perpaduan & keharmonian kaum ini seperti watak Rajoo dan Lim. Ia bukan saja membuka minda orang dewasa seperti saya, tapi juga berjaya menambat hati kanak-kanak yang menontonnya.
Namun saya percaya semua orang sedar dan tahu setiap unsur yang cuba diterapkan oleh Yasmin Ahmad dalam filemnya ada juga berikan isu dan perspektif yang berbeza dan sering kali dipersoalkan. Sebagai contoh dalam filem Talentime, banyak babak yang saya sendiri rasakan ianya tak mencerminkan sangat budaya Malaysia atau adat ketimuran dan mungkin agak lari dari kehidupan asal masyarakat Malaysia terutama Melayu yang kaya dipenuhi dengan pelbagai adab dan tatatertibnya.
Antara babak yang menarik perhatian saya ialah babak watak Pamela Chong yang berpakaian sekolah menengah didukung dan dipapah oleh Harith Iskandar, ayahnya. Mungkin apa yang cuba diketengahkan oleh Yasmin ingin mengambarkan betapa akrab dan mesranya hubungan anak dan ayah, tapi sepanjang hayat saya, saya belum pernah lihat lagi mana-mana anak yang sudah berusia belasan tahun yang pulang dari sekolah disambut sedemikian rupa. Malah menurut pendapat pensyarah saya sendiri tidak begitu suka babak tersebut kerana baginya ia tak mencerminkan budaya dalam kehidupan sebenar, tambah pula ujarnya apabila setiap anak gadis yang meningkat usia sudah tahu dan faham "gap" atau batas kemesraan antara keluarga. Setakat berpelukan pun ada kena pada masa dan keadaannya, dan bukannya asyik memeluk dan dipeluk sepanjang masa.
Begitu juga dengan babak Harith Iskandar ditindan oleh anak-anak perempuan dan isterinya sendiri walaupun ia boleh dianggap sebagai komedi tapi rasanya ia tak sesuai. Saya dan adik-adik lelaki pernah juga menindan badan ayah saya, tapi apabila dah matang dan meningkat usia, saya rasa sudah lama tinggalkan cara kemesraan seperti itu. Begitu juga dengan apa yang diketengahkan oleh Zainuri menerusi babak si bapa mengangkat kakinya di hadapan anak-anaknya ketika sedang menjamu makan tengah hari, pastinya boleh mengundang rasa kurang selesa, walaupun ia mungkin dilihat sebagai komedi. Ini kerana dalam mana-mana bangsa sekalipun, mengangkat kaki ketika makan memang dilihat sebagai kurang ajar. Ini belum lagi ditambah dengan dialog berbau lucah seperti babak seorang ibu yang komen penampilan anaknya yang tiada 'boobs' yang besar dan juga perkataan 'Dick' tak sesuai dan kena dengan adat ketimuran.
Andai kata Yasmin Ahmad masih hidup, saya harap karya-karyanya pada masa akan datang sepatutnya lebih peka dan 'alert' tentang isu-isu sensetif seperti ini. Alangkah ruginya sekiranya filem tersebut sudah terbaik dari segi jalan cerita, suntingan, kamera angle tapi dicemari dengan elemen-elemen yang kita terlepas pandang ini.
"Seperti yang kita katakan, Yasmin mempunyai niat yang amat murni dalam karyanya tetapi cara beliau mempersembahkan ideanya dalam bentuk visual, yakni filem, banyak perkara yang boleh dipersoalkan.
Memang karyanya diperakui oleh masyarakat antarabangsa kerana mereka tidak memahami citra bangsa dan nilai budaya negara ini. Makan menggunakan sudu dan garfu adalah budaya orang Barat. Namun, bayangkan apabila bersama mereka kita makan menggunakan tangan? Pastinya mereka akan menganggap kita tidak menghormati dan memahami budaya mereka. Itulah analoginya apabila orang luar melihat beberapa filem atau karya yang dari sini.
Bukan saja dalam filem, tetapi menerusi beberapa drama bersiri atau telefilem yang disiarkan oleh stesen TV, sudah mula memaparkan nilai dan budaya yang agak bertentangan. Kita juga sudah berasakan ada drama yang hendak mengangkat kebebasan mutlak, kehidupan berfoya-foya, mengutamakan kebendaan atau materialistik selain tidak memberikan sebarang pengajaran kepada penonton." - Zainuri Misfar
Apa yang saya "highlight"kan berwarna merah diatas adalah salah satu alasan utama saya sudah hilang selera untuk tonton filem tempatan. Malah jujur untuk saya katakan, saya takkan mungkin keluarkan duit poket untuk tonton filem tempatan di pawagam dan lebih rela tonton filem barat dan untuk filem tempatan, saya galakkan diri saya sendiri untuk menonton pada tayangan istimewa Hari Raya semata-mata di kaca TV. Bukan taknak menyokong industri filem tempatan, tapi saya rasa kita perlukan transformasi dan keluar dari kepompong stereotype asal filem-filem terdahulu. Start thinking out of the box.
Saya sendiri tak faham, kenapa filem-filem tempatan sering kali hanya "play safe" untuk ketengahkan genre dan jalan cerita yang hampir sama. Adakah kalau genre komedi atau cinta, adakah perlu ianya 100% berdasarkan komedi dan cinta semata-mata tanpa isu dan pengajaran yang nak kita ketengahkan? Kadangkala saya sendiri merasakan kecewa apabila kalau tengok trailer dan jalan cerita dah nampak gempak, tapi bila ada elemen lawak yang kadang-kala nampak macam menunjukkan kebodohan diri sendiri. Contohnya filem Antoo Fighter, saya amat tertarik kepada jalan cerita dan kesan khas (FX) yang digunakan, tapi ada antara pelakonnya pula nampak seperti 'fake' dan hanya 'spoil' dan merosakkan filem tersebut. Adakah kalau 'timba' atau 'baldi' diletakkan di atas kepala dan menutupi hampir keseluruhan muka Radhi OAG, boleh dianggap satu komedi?
Sebenarnya banyak benda yang kita perlu pelajari dan perbaiki lagi. Malah saya percaya dalam dunia ini saja kita bukan saja hanya tumpukan kepada aspek cinta dan komedi semata-mata, kerana bagi saya ianya hanyalah sebahagian dari kehidupan. Ada banyak lagi aspek kehidupan kita boleh ketengahkan, malah saya amat berharap sekiranya filem tempatan dijadikan platform terbaik untuk menarik minat dan membuka minda anak-anak muda kita untuk pelajari dan ambil iktibar sesuatu dari filem yang mereka tonton, bukan sekadar terlalu berfantasi bagaimana untuk bercinta, bergelak ketawa dan menjerit sesuka hati dalam tempoh 2 jam filem tersebut ditayangkan, dan apabila keluar saja dari pawagam masalah hidup di dunia ini masih tak selesai. Balik ke rumah saja dari pawagam dah bergaduh dan kena marah dengan keluarga, jadi hiburan dan keseronokan itu hanya bersifat sementara.
Sebagai contoh, sekiranya saya baru saja alami situasi putus cinta dan tekanan hidup akibat daripada masalah penggangguran dan tak dapat kerja akibat diskriminasi tertentu, sudah tentu saya perlukan ketenangan dan dalam masa yang sama saya masih perlu berikhtiar untuk mencari jalan untuk mengubah nasib dan teruskan survival hidup saya. Jadi sebagai salah satu cara untuk mencari ketenangan, jadi saya sanggup keluarkan RM10 (walaupun tersepit dalam masalah kewangan kerana menganggur) untuk tonton filem di pawagam. Jadi sekiranya filem yang saya tonton itu bukan saja beri ketenangan, malah secara tak langsung memberi pengajaran dan juga tips bagaimana untuk mengubah nasib dan berjaya dalam hidup, saya yakin, sebaik saja saya melangkah keluar dari pawagam, saya rasakan filem tersebut sebenarnya berikan motivasi dan 'refreshment' dalam diri untuk atasi setiap tekanan hidup yang saya hadapi sekarang. Jadi amatlah berbaloi untuk pelaburan RM10 bagi insan menganggur seperti saya sekiranya filem tersebut dapat berikan petunjuk dan motivasi serta ketenangan yang dicari.
Begitu juga filem Click lakonan Adam Sandler dan Yes Man lakonan Jim Carey. Walaupun genre kedua-dua filem ini adalah komedi, namun mesej yang disampaikan amat jelas dan benar-benar berikan kesan yang mendalam kepada saya. Filem Click telah mengajar saya supaya kita menghargai setiap detik dan 'moment' dalam hidup serta bagaimana untuk bahagikan masa antara kerjaya dan famili, kerana hakikatnya apabila kita terlepas atau abaikan setiap detik dalam hidup kita, kita takkan dapat berundur atau 'rewind' kembali hidup kita kerana dalam dunia sebenar, tiada alat kawalan yang mampu kawal dan mengubah nasib hidup seseorang. Begitu juga dengan filem Yes Man, walaupun semua orang tahu Jim Carey adalah seorang yang pakar komedi, namun menerusi filem ini komedinya bukanlah bersifat keseronakan yang 'entah apa-apa' seperti kebanyakkan filem komedi lakonannya yang lain, tapi filem ini telah berjaya menjadikan komedinya itu berfungsi selari dengan mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan untuk seseorang cuba berfikiran positif dan toleransi setiap keputusan hidup yang dibuat.
Jadi saya harap, kita janganlah 'limit'kan industri filem kita hanya semata-mata untuk sajikan babak cinta dan ringan semata-mata. Gunakan setiap isu semasa yang ada disekeliling kita untuk pengaruhi golongan muda supaya lebihkan berfikir masa depan dan bukan sekadar berhibur keseronokan yang sementara. Sayang dan rugilah sekiranya kita tak gunakan bakat istimewa yang dimiliki seperti Saiful Apek, Nabil dan lain-lain sekiranya kita hanya mampu hasilkan komedi yang entah apa-apa seperti Sifu dan Tongga.
Bukannya saya nak katakan cinta dan komedi itu tak penting dalam kehidupan, kerana bagi saya cinta dan komedi itulah tak boleh lari daripada sebahagian dalam kehidupan, tapi andai kita terlalu taksub berfantasi dengan cinta dan gelak ketawa, seolah-olah kita tak lagi fikirkan masalah lain yang melanda dan terjadi sekeliling kita. Itulah yang terjadi kepada generasi muda sekarang. Kerana hanya pada cinta, kita lupa, abaikan, dan membelakangkan tanggungjawab kita kepada mak ayah, pelajaran, kerjaya dan sebagainya kerana bukanlah cinta itu yang akan membantu kita cari rezeki dan ubah nasib sesebuah bangsa dan negara. Terlalu taksubkan dengan aksi lumba dalam filem, jadi lebih ramai lagi kita sebenarnya galakkan mereka ceburi industri pemotoran haram tempatan dengan wujudnya jawatan mat rempit lebih ramai. Ketawa memang boleh hilangkan duka, tapi adakah kita ketawa sepanjang masa? Marilah sama-sama kita renungkan.