1

Bina Masjid : Kerana Keperluan Ibadah atau Bermegah Nama?

Posted by PonMan on 6:48 AM

Bulan Ramadhan telah menjelma lagi. Kali ini penduduk di Putrajaya dapat merasai menunaikan ibadah Terawikh di Masjid Besi yang baru saja siap di bina yang terletak di Presint 3, tak jauh dari kawasan tapak bazaar Ramadhan.

Dari segi sudut dan nilai senirekanya, memang diakui ia berkonsepkan seni bina moden kontemporari dengan didokong oleh 6000 tan keluli dan material telus cahaya dimana kos pembinaannya sekitar RM180 juta itu dapat menampung 20,000 jemaah pada satu-satu masa ini bakal menjadi satu lagi mercu tanda dan tarikan pengunjung di Putrajaya.


Namun begitu, apakah sebenarnya tujuan asal pembinaan masjid ini? Adakah kerana keperluan ibadah dan kemudahan para penduduk setempat, atau sekadar bahan pameran untuk bermegah? Kalau ianya kerana keperluan ibadah dan kemudahan para penduduk setempat terutama di sekitar Putrajaya, Masjid Putra yang telah lama dibina hanya terletak berhampiran (menggunakan satu jalan utama tak sampai 10 minit) dengan Masjid Besi ini boleh dijadikan tempat ibadah.

Bukanlah untuk menafikan tindakan membina masjid ini adalah salah, tapi pada hemat saya, masjid ini sepatutnya dibina di kawasan yang lebih memerlukannya. Sebagai contoh, bagi mereka yang tinggal di sekitar Cyberjaya, mereka terpaksa bersesak menunaikan ibadah sehingga terpaksa berpanas atau menahan air hujan yang membasahi bumi di luar kawasan masjid di MMU dan juga yang terbaru di kawasan Bomba Cyberjaya. Begitu juga dengan kawasan Equine Park, Seri Kembangan. Setiap kali tiba waktu solat terutamanya solat jemaah Jumaat, penghuni terpaksa menghimpit antara satu sama lain menyebabkan kurang keselesaan atau Khusyuk di kalangan jemaah. Mengapa tak dibina saja masjid yang tersergam indah ini di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk dan jemaah lebih ramai yang hanya bergantung kepada surau-surau atau masjid-masjid kecil yang baru dinaikkan taraf?

Satu lagi situasi dimana selalunya, pihak majlis bandaran atau wakil penduduk kawasan setempat telah mempunyai tapak khas untuk pembinaan masjid, namun daripada tanah lapang hinggalah bertukar menjadi semak hutan, masih tiada tanda-tanda masjid akan didirikan sebaliknya yang tinggal adalah papan tanda semata-mata. Mengapa perkara ini berlaku? Kerajaan tiada dana atau peruntukankah untuk membina masjid di kawasan keperluan rakyat? Mengapa perlu membazir bina 2-3 masjid di satu tempat?

Begitu juga masjid Kristal di Taman Tamadun Islam ala Disneyland di Terengganu. Kalau dilihat melalui pandangan luar dan dari jauh, memang masjid ini nampak menarik dan indah sekali tapi adakah ia satu keperluan ibadah atau hanya bermegah semata-mata?

Dari luarannya memang nampak besar, tapi yang peliknya bila masuk dalam ruang masjid, alangkah kecil dan sempitnya ruang di dalamnya (rasanya hanya berapa kerat jemaah saja kot). Buat masjid mahal-mahal setakat cantik dari luaran tapi tak dapat 'fully-utilised' atau menggunakan sepenuhnya konsep dan tujuan asal pembinaan masjid tersebut. Lokasinya pula yang terletak agak jauh dari kawasan darat dan di penghujung jalan serta laluan ke ruang ambil wuduk juga agak jauh dimana terpaksa menggunakan jalan utama dimana bertembungnya jemaah lelaki dan perempuan juga adalah sesuatu yang tak rasional.

Jelaslah, hakikatnya pada hari ini bina masjid hanya untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah pada nama dan bukannya kepentingan atau keperluan ibadah yang memudahkan rakyat atau jemaah semata-mata dengan pembaziran duit yang cukup besar. Mungkin kerana kurang penghayatan sebenar pembinaan masjid ini telah menimbulkan satu petanda buruk seperti gambaran yang terhasil seperti dibawah ini diambil oleh salah seorang pengunjung menggunakan kamera videonya. Adakah ini satu petanda kemurkaan Allah swt terhadap pembinaan masjid yang menghabiskan duit rakyat jutaan ringgit namun tidak boleh ditunaikan solat Jumaat? Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui.


Dialog babak dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, karya Allahyarham P.Ramlee:

"Orang beli rumah baru, dia mahu rumah baru, orang beli radio baru, dia mahu radio baru, orang beli baju baru, dia mahu baju baru! Itu pasal ana suruh kamu kidnap sama ana la...."

1 Malaysia : " Duit Rakyat didahulukan (deposit / wang pendahuluan), pencapaian diutamakan "

1 Comments


bila mau layan masjid besi.

nampak macam nice je

Copyright © 2009 PonMan Creative Mind All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.