0

Malaysiaku Penuh Sandiwara....

Posted by PonMan on 7:16 PM
Sepanjang penghayatan dan pemerhatian saya Malaysia telah kecapi pelbagai kemajuan dan perubahan mengikut arus kemodenan. Perubahan dapat dilihat dengan begitu ketara menerusi banyaknya bangunan tinggi pencakar langit tersergam indah menghiasi kota metropolitan ini. Namun begitu dikala kita mengejar arus kemodenan ini, masih ada lagi satu tabiat atau 'habit' sesetengah di antara kita begitu pandai dan berbakat dalam bidang sandiwara.

Dikala negara kita sudah menjadi sasaran utama serangan penyakit H1N1, masih ada pihak yang seolah-olah berpura-pura macam tiada apa yang kritikal dan menyarankan orang ramai supaya tidak panik dengan situasi semasa kononnya keadaan masih terkawal, dan kini angka kematian akibat kesan H1N1 ini sudah mencecah lebih 50 orang, adakah rakyat masih perlu rasa tak panik? Adakah kita perlu tunggu jumlah kematian meningkat melebihi 100 orang atau tunggu saja virus itu menjangkiti para menteri baru kita nak klasifikasikan sebagai bahaya? Jadi apakah usaha pihak Kementerian Kesihatan mengekang wabak ini. Sepatutnya, dari awal lagi kita perlu ambil langkah pencegahan yang drastik. Apabila ada saja kes pertama H1N1 di Malaysia, kita dah perlu lebih peka dan alert tentang musibah yang bakal melanda. Sepatutnya kita perlu mengawal pintu masuk utama ke negara ini dan sekiranya ada diantara rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air, maka lebih baik batalkan hasrat tersebut buat sementara. Malangnya, sekuriti dan kawalan kesihatan yang longgar di lapangan terbang boleh dijadikan antara lubuk terbaik untuk penyebaran wabak ini.

Gambar 1: 'Perhimpunan secara aman' laungkan Anwar sebagai pengkhianat.


Gambar 2 : 'Demostrasi jalanan' anti ISA

Begitu juga dengan dunia politik semasa tanah air, kadang kala menyebabkan rakyat dah naik muak dengan sandiwara dan berita di media. Kalau pihak pembangkang nak buat perhimpunan, maka ianya lebih dikenali sebagai demostrasi jalanan haram, tapi sekiranya wakil pihak kerajaan nak buat perhimpunan, ianya patut dikenali sebagai perhimpunan secara aman malah diberi pula permit oleh pihak polis. Bukan hendak menyokong mana-mana pihak, tapi apa yang diketengahkan disini, tak kira sama ada ianya dikenali sebagai demostrasi atau perhimpunan secara aman, ia tetap tak berikan apa-apa faedah, sebaliknya hanya membawa kepada masalah kesesakan lalu lintas dan juga kerugian peniaga-peniaga kecil yang teraniaya di sekitar kawasan yang terlibat. Jadi apa relevannya dan kenapa rakyat perlu demostrasi?


Mungkin demostrasi tak perlu diadakan sekiranya pihak kerajaan lebih peka kepada masalah rakyat dan apa yang rakyat tak berpuas hati, dan pihak media sepatutnya memainkan peranan sebagai pihak orang tengah yang menghubungkan rakyat dengan pemimpin tertinggi kerajaan, dan bukannya peranan media 'mengaburi' mata rakyat dengan berita-berita yang berat sebelah. Kerana rakyat Malaysia kini lebih bijak berfikir dan membuat keputusan, itulah yang terjadi pada setiap pilihanraya yang diadakan. Secara jujurnya saya dapati sebenarnya salah satu punca utama kekalahan pihak kerajaan adalah disebabkan media itu sendiri yang terlalu bersikap PRO. Maka ini mendatangkan kemusykilan kepada rakyat kenapa pihak media lebih fokus kepada sesebuah parti sahaja atau sebenarnya pihak kerajaan terlepas pandang seolah-olah terlalu yakin boleh menang di kawasan tersebut, sedangkan pihak pembangkang ada strategi yang tersendiri tanpa perlukan liputan media utama. Kenapa perkara ini boleh berlaku sedangkan media merupakan satu saluran yang kukuh untuk menarik undi yang lebih berkesan? Jadi hasilnya kita dapat lihat sendiri, kekalahan demi kekalahan dialami oleh mereka. Dan keunikan media di Malaysia ialah, apabila sebelum pilihanraya, berita-berita dijadikan tajuk utama, tapi sesudah pilihanraya, apabila parti yang mereka terlalu berikan fokus itu tewas, maka tiada lagi tajuk berita disiarkan seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa pilihanraya di kawasan tersebut. Inilah sandiwara yang dimainkan oleh media.



Berbalik kepada isu demostrasi, bagi saya ia hanya merupakan jalan terakhir yang terpaksa diambil oleh rakyat untuk suarakan kehendak dan aduan mereka. Bukan kita tak pernah mendengar dan tahu, setiap kali berurusan atau membuat aduan kepada mana-mana jabatan kerajaan, mesti ada saja alasan yang diberikan, seperti tak dapat respon dari jabatan tersebut, atau aduan mungkin tak sampai kepada pihak atasan seperti pegawai untuk ambil tindakan, atau pihak jabatan itu sendiri juga asyik dan kerap kali menangguhkan dalam membuat keputusan muktamad sesuatu perkara atau isu berbangkit dan macam-macam lagi karenah. Inilah sebenarnya yang menaikkan kemarahan rakyat setempat, jadi jalan penyelesaiannya adalah panggil media dan buat kain rentang atau poster dan berkumpul serta bersorak ramai-ramai untuk suarakan bantahan. Jadi seandainya pihak jabatan kerajaan yang terlibat lebih peka tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan mengambil tindakan susulan dengan serta-merta, saya percaya mungkin rakyat pun tak perlu lagi bersusah-payah memekik dan berkumpul dibawah sinaran matahari yang terik untuk menuntut hak mereka. Inilah satu lagi sandiwara.

Begitu juga tanggapan negatif terhadap blog-blog dalam internet ini yang sememangnya dijadikan bahan atau alat tohmahan yang kononnya dikatakan menghasut. Mungkin hanya segelintir diantara kita terutama bagi mereka yang kurang celik atau buta IT tak faham atau tahu apakah fungsi blog ini. Sebenarnya blog ini adalah medan bagi seseorang blogger untuk mengekspresikan dan meluahkan cerita-cerita atau masalah yang sebenarnya dihadapi. Tak dinafikan ada juga blog yang bersifat menghasut, tapi majoritinya adalah bersifat cetusan idea, dan pandangan peribadi seseorang blogger terhadap sesuatu isu yang berbangkit semata-mata. Jadi seandainya kita masih berpegang kepada amalan demokrasi atau kebebasan bersuara, jadi tak salah kalau kita laungkan sesuatu dalam blog kita. Ini adalah kerana dalam blog kita tak perlu risau atau ragui setiap perkara yang kita taip kerana ianya 100% tulen ditulis oleh blogger itu sendiri tanpa diedit. Pengalaman saya dalam menulis surat di ruangan forum atau rencana dalam akhbar-akhbar tempatan, walaupun hasil nukilan saya disiar dan diterbitkan, tapi ia tidak mendatangkan kepuasan kepada saya kerana ianya seringkali diedit dan adakalanya langsung tak disiarkan kerana risau apa yang saya ketengahkan itu menjejaskan imej dan reputasi akhbar terbabit (atau lesen akhbar ditarik balik). Jadi inilah sekatan-sekatan yang dihadapi di dunia sebenar untuk ketengahkan sesuatu perkara sedangkan sememangnya jelas dan lagi bersuluh kesahihan fakta yang cuba disampaikan. Jadi disebabkan sekatan-sekatan beginilah, terhasilnya blog-blog di dunia internet untuk suarakan pendapat mereka. Inilah satu lagi sandiwara.

Sandiwara di Malaysia terus merebak bukan saja dalam industri seni tanah air tapi juga merebak dalam industri sukan negara. Apa yang kita sering dengar sejak kebelakangan ini terlalu banyak masalah atau krisis dalaman antara persatuan-persatuan sukan yang sering kali berbalah dan menuding jari antara satu sama lain sehingga sukan-sukan tersebut terabai atau terpinggir akibat kelemahan pentadbiran dan pengurusan persatuan sukan terbabit. Bagi saya keadaan ini langsung tak mencerminkan tahap professionalisme dan hanya nampak lebih kurang seperti sandiwara dalam WWE semata-mata. Alangkah ruginya kita memiliki kompleks sukan paling canggih dan lengkap dengan semua kemudahan, tapi sukan kita masih jauh ketinggalan akibat sikap professionalisme atau mentaliti kelas ketiga pengurusan tersebut.


Paling ketara adalah peranan 'watak' utama yang dimainkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seringkali diselubungi dengan kontroversi dan krisis. Sekarang kita sendiri dapat lihat sejauhmana 'golongan cerdik pandai dan arif' tentang bola sepak ini telah berjaya mengharu-birukan kemeriahan bolasepak tanah air. Dengan hanya berkemampuan untuk merombak liga (dalam misi menyelamatkan pasukan Pahang daripada jatuh ke Liga Perdana), menyusun jadual yang lebih serabut, pemilihan jurulatih dan pemain hinggalah kepada pemilihan majlis tertinggi FAM, apa lagi yang dapat dibanggakan oleh FAM? Rata-rata penyokong sebenarnya dah muak dan lali dengan pengurusan FAM itu sendiri sehinggakan wujudnya pertubuhan yang diberi nama Black Parade gabungan kelab-kelab penyokong negeri menyuarakan bantahan dan kritikan, tapi adakah FAM sendiri ambil peduli tentang suara mereka? Adakah FAM pernah mendengar pandangan dan kritikan mereka dalam portal kelab penyokong negeri masing-masing? Saya rasakan mustahil benda ini dilakukan mereka, dan akibatnya setiap keputusan yang mereka lakukan sering datangkan kemarahan dan tidak puas hati. Lihat saja pemansuhan pemain import, liga kita tak meriah lagi sebaliknya ia langkah ke belakang kerana ia bukan kali pertama tindakan 'bodoh' seperti ini diambil, tapi nyata FAM masih belum belajar dari kesilapan. Inilah sandiwara yang terpaksa ditelan oleh peminat bolasepak tempatan.

Begitu juga dengan rakyat kita sendiri terpaksa bersandiwara untuk berurusan dengan kerajaan dan mendapat apa-apa kelulusan projek mahupun tender daripada jabatan-jabatan tertentu. Bak kata pepetah orang zaman sekarang, "Kalau ada 'kabel', semuanya boleh dilaksanakan". Mengapakah budaya 'kabel' ini semakin melarat di Malaysia, sedangkan kita dah ada prosedur yang ditetapkan? Pada pendapat saya, dengan budaya 'kabel' inilah sebenarnya secara tak langsung kita menggalakan rasuah. Rasionalnya adalah apabila kita menggunakan 'kabel', sudah tentu kita akan membayar atau memberi 'upah' sebagai penghargaan kepada 'fast-service' yang diberikan. Walaupun bukan semua diantara kita yang suka gunakan budaya 'kabel' ini, tapi disebabkan ingin terus hidup, cari makan dan survival perniagaan, mereka terpaksa mengikut trend atau arus sedemikian rupa daripada terus ketinggalan kepada pesaing-pesaing yang terdekat.

Inilah hakikat sandiwara di Malaysia!!!! Jangan biarkan Malaysiaku yang tercinta musnah akibat diselubungi dengan budaya sandiwara dan ketidaktelusan ini.

0 Comments

Copyright © 2009 PonMan Creative Mind All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.